Mahfuz dakwa Pas tak senada, celaru

Mahfuz (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian pemandu teksi yang hadir program libat urus di Wisma Perkeso Kedah hari ini.
Mahfuz (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian pemandu teksi yang hadir program libat urus di Wisma Perkeso Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas didakwa semakin bercelaru apabila pimpinan tertinggi parti itu membuat kenyataan yang tidak senada.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian Pas seolah-olah tidak konsisten sejak parti itu menjalin kerjasama bersama UMNO.

Menurutnya, Pas didakwa cuba mencetuskan kecelaruan pemikiran dalam kalangan rakyat apabila presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal, manakala timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu Parlimen dibubarkan segera untuk memilih kepimpinan baharu.

“Ternyata Piagam Pas-UMNO yang bakal dimeterai cuba cetuskan kecelaruan pemikiran, malah pendirian Pas sejak mutakhir ini semakin 'pelik'. Lihat sahaja dua pemikiran berbeza antara presiden dan timbalan presidennya,” katanya pada sidang akhbar selepas program libat urus bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Kedah hari ini.

Mahfuz berkata, kecelaruan tersebut jelas menggambarkan pemikiran dan hala tuju politik sebenar dibawa Pas dan UMNO.

“Abdul Hadi pernah kata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tak cemerlang prestasinya bawah pimpinan Dr Mahathir, dikatakan pentadbiran PH kurang Islamik sebab dibayangi DAP. Kini, mahu pertahankan beliau hingga habis penggal pula, memang pelik, ” katanya sinis.

Jelasnya, pendekatan pemimpin Pas juga tidak jelas terhadap sesuatu isu termasuk isu kepimpinan negara.

“Sekejap mahu tukar pimpinan, sekejap mahu kekalkan kepimpinan Mahathir. Kita pun tak tau mana satu. Kalau benar mahu pertahankan kepimpinan Mahathir, saya setuju dan ucap terima kasih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz berkata, apa yang dicetuskan Pas adalah untuk melaga-lagakan Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu peralihan kuasa antara kedua pemimpin itu.

“Ini keadaan yang tidak mencerminkan kematangan politik. Insya-ALLAH, kita akan pastikan proses peralihan kuasa lancar dan beri manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, lebih baik pemimpin Pas dan UMNO membantu memperjelas dasar-dasar kerajaan PH jika mahu Dr Mahathir terus mentadbir negara hingga tamat penggal, berbanding bermain wayang politik.

“Hentikan dulu politik, tumpu pada proses membina semula negara. Apa salahnya jika mereka pun turun ke stesen teksi dan perjelaskan dasar kerajaan, itu lebih baik. Buat kebajikan untuk bekalan akhirat,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi berkata, Pas dan UMNO akan saling bekerjasama mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal mandat Pilihan Raya Umum ke-14 kerana berasakan pentadbiran PH ‘tidak berwajah kepimpinan orang Islam’ dan didakwa dikuasai orang bukan Islam.

Katanya, parti itu mengamalkan sikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang tidak ekstrem.

Terdahulu pada 19 Julai pula, Tuan Ibrahim mahu kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen segera supaya kepimpinan baharu dapat menstabilkan kembali negara.

Ia dikaitkan dengan prestasi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta pergolakan dalaman PKR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!