JOHOR BAHRU - Polis berjaya menyelamatkan 47 wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks dalam serbuan di 80 premis sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bermula awal tahun ini. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan Ops Hibur dan Ops Noda itu dijalankan dalam tempoh 1 Januari hingga 27 Julai lalu. Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, seramai 269 individu ditahan manakala pelbagai peralatan hiburan dan wang tunai berjumlah RM76,984 dan S$420 (RM1,264.73) dirampas. "Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun yang terdiri daripada warga tempatan dan juga warga asing. "Semakan rekod jenayah ke atas semua tangkapan mendapati tiada rekod kesalahan jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini. Dzulkhairi berkata, kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan lanjut, manakala wanita warga asing terbabit pula dimohon perintah perlindungan interim (IPO) dan seterusnya dihantar ke pusat perlindungan sementara. Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan; Seksyen 55(B), Seksyen 39(B) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976; Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor; Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor (Pusat Hiburan) serta Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.