Perak sudah bermain dengan baik: MB

Ahmad Faizal pada sidang media hari ini.
Ahmad Faizal pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpuas hati dengan corak permainan ditunjukkan pasukan bola sepak Perak meskipun gagal merangkul kejuaraan Piala FA selepas tewas kepada Kedah 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Beliau berkata, aksi ditunjukkan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu adalah di tahap tertinggi apabila hampir menguasai sepenuhnya perlawanan.

"Sudah tentu kita kecewa dengan kekalahan itu, tetapi dalam masa sama berasa bangga kerana saya dapati mutu perlawanan adalah di tahap tertinggi.

"Hanya rezeki tidak memihak kepada kita apabila satu-satunya gerakan berbahaya dilakukan pasukan lawan telah memberikan gol kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Pekebun Buah Limau Tambun dan Buah-buahan Tempatan Tambun hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yakin, Perak mampu melakar lebih banyak kejayaan sekiranya momentum sama perlawanan dikekalkan.

"Jika beginilah cara permainan ditunjukkan pasukan Perak, saya yakin dan percaya lebih banyak kejayaan dapat diraih pada aksi-aksi perlawanan akan datang," katanya.

Semalam, gol tunggal pemain gantian skuad Helang Merah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 meranapkan impian skuad The Bos Gaurus untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir pada 2004.

Perak yang turun dengan status juara Piala Malaysia 2018 masih mampu beraksi cemerlang meskipun terpaksa mengharungi 30 minit masa tambahan dengan 10 pemain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!