Sarong Run UPM sasar kesedaran kepentingan pertanian
SERDANG - Seramai lebih 1,500 pelajar dan masyarakat setempat menyertai Larian Kesedaran Inovasi Tani sempena Karnival Inovasi Tani Universiti Putra Malaysia yang bertemakan Sarong Run, baru-baru ini.
Larian yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mahasiswa dan masyarakat untuk sama-sama menyokong dan memajukan aktiviti pertanian disamping membudayakan gaya hidup aktif dan sihat dalam kehidupan.
Pengarah Program, Mohd Azakie Ariffin berkata, kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian semakin kurang dalam kalangan rakyat membuat mereka mengambil inisiatif sebegini.
”Sebagai mahasiswa universiti yang dahulunya merupakan Universiti Pertanian ini saya rasakan penting untuk memberi kesedaran serba sedikit tentang kepentingan bidang ini kepada masyarakat.
“Selain itu, dengan penganjuran sebegini, kita dapat membudayakan gaya hidup aktif dan sihat dalam kehidupan, tidaklah menjadi mahasiswa yang lemah dan lesu,” katanya.
Menariknya, Sarong Run sejauh 5km ini adalah peserta dikehendaki mengayakan kain sarong mengikut kreativiti mereka sepanjang larian.
Seorang peserta, Ahmad Muhammad Hamizan berkata, larian sebegini menyeronokkan dan ini adalah pengalaman pertama dia menyertai larian sambil menggunakan sarong
”Agak mencabar juga ketika nak berlari tetapi alhamdulillah saya dapat menamatkan larian di tempat pertama.
“Bagi saya, program seperti ini menarik dan wajar diteruskan kerana disamping kita menyihatkan tubuh badan, kita boleh juga menambahkan pengetahuan tentang pertanian kerana pelbagai booth dan pameran inovasi yang disediakan di sini”. tambahnya lagi.
Selain itu, turut berlangsung pelbagai aktiviti menarik sempena Karnival Inovasi Tani UPM 2018 seperti Pertandingan Inovasi Tani yang disertai oleh para pelajar daripada sekolah-sekolah yang terdapat di Sri Serdang, gerai perniagaan, bengkel kraf dan batik, kembara race dan busking.
Karnival ini dirasmikan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia Prof Madya, Dr Paramasivam Muthusamy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!