SPRM Sarawak diminta ambil serius semua laporan
KUCHING - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian mahu supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bertindak dengan amanah dan telus dan tidak mengambil mudah terhadap semua laporan yang telah diajukan kepada mereka.
Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat serius dalam agenda memerangi gejala rasuah di negara ini dan menitikberatkan integriti, ketelusan dan keterbukaan dalam semua aspek kerajaan.
"Saya percaya dan berharap dengan perubahan yang dilakukan Kerajaan PH dalam struktur SPRM lebih ramai tangkapan dan dakwaan akan dilakukan.
"Bukan sahaja terhadap pelaku-pelaku kecil malah pelaku-pelaku besar juga akan disiasat dan didakwa,” katanya pada majlis makan malam "Harapan Sarawak Baru,” anjuran PH Sarawak di sini malam ini.
Beliau turut menyeru parti-parti komponen PH agar terus giat dalam melakukan gerak kerja yang sistematik sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-12, yang akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2021.
"Kali ini kita berkeyakinan tinggi untuk mengambil alih pemerintahan Sarawak dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya sambil mengingatkan bahawa kerajaan pusat adalah kerajaan manakala GPS adalah kerajaan pembangkang. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!