Kampung Pakistan di Hulu Selangor
SEBUAH penempatan pelarian warga Pakistan dikesan wujud di Bandar Bukit Sentosa di sini sejak enam tahun lalu.
Rata-ratanya dipercayai pelarian Pakistan yang memiliki kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan mereka beranak pinak serta 'berkampung' di kawasan itu dengan membuka premis tertentu seperti sekolah dan dewan komuniti secara haram.
Berdasarkan maklumat diberikan pembaca Sinar Harian, Wartawan Sinar Siasat melakukan sendiri tinjauan di kawasan penempatan tersebut.
Hasil tinjauan terdapat dua unit di premis bangunan perniagaan di situ telah dijadikan sebagai sekolah, dewan dan juga surau bagi komuniti pelarian itu dipercayai sejak dua tahun lalu.
Wartawan Sinar Siasat membuat tinjauan awal pagi untuk melihat kehadiran kumpulan warga asing tersebut seperti didakwa penduduk setempat.
Sekitar jam 12 tengah hari, kelihatan beberapa wanita Pakistan dengan pakaian tradisi mereka muncul di sekitar premis perniagaan berkenaan untuk urusan masing-masing termasuk dipercayai menunggu anak mereka pulang dari sekolah.
Sekitar jam 1 petang pula, kelihatan beberapa kanak-kanak memakai pakaian sekolah menuruni tangga premis dan mereka dijemput oleh ibu atau bapa masing-masing yang antaranya dilihat menggunakan kenderaan bernombor plat tempatan.
Secara keseluruhan lebih 30 kanak-kanak dilihat keluar masuk di premis dijadikan sekolah itu.
Kebetulan hujan ketika itu dan Wartawan Sinar Siasat dapat melihat beberapa kanak-kanak dengan raut wajah 'warga Pakistan' bermain air selepas tamat sesi persekolahan.
Untuk mengukuhkan lagi hasil tinjauan, Wartawan Sinar Siasat cuba berbual dengan seorang wanita Pakistan itu tetapi sayangnya, dia tidak boleh memahami sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu melainkan hanya boleh bertutur dalam bahasa Urdu.
Akibat masalah bahasa, Wartawan Sinar Siasat tidak mendapat maklumat lebih terperinci namun kehadiran kumpulan pelarian itu memang jelas kelihatan di kawasan tersebut.
Kewujudan premis dijadikan sekolah di kawasan itu dipercayai tidak mendapat lesen serta kelulusan daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).
Penduduk tempatan pula merasa kurang selesa dengan kehadiran penempatan warga asing tersebut apatah lagi kerap berlalu kes kecurian di kawasan perumahan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!