Penguatkuasaan pusat jagaan kanak-kanak masih lemah
TRAGEDI sedih melibatkan bayi yang meninggal dunia ketika di pusat jagaan kanak-kanak atau pengasuh berlaku lagi.
Terbaru insiden melibatkan dua bayi yang seorangnya ditemui meninggal dunia akibat lemas di dalam baldi di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Shah Alam dan satu lagi kes ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kedah.
Berita itu pastinya mengundang duka ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada pengasuh menjaga dan mengawasi anak mereka ketika keluar mencari rezeki.
Namun kenapa kejadian seumpama itu kerap berlaku, adakah kerana kecuaian pengasuh? Adakah hukuman ke atas kesalahan itu ringan menyebabkan sesetengah pihak tidak ambil berat tanggungjawab yang diamanahkan?
Ikuti pandangan daripada Pengarah Urusan Hushim Motivational and Counselling Consultancy, Hushim Salleh mengenai perkara ini.
SINAR HARIAN: Macam mana tragedi itu boleh berlaku, salah siapa?
HUSHIM: Bagi saya yang jelas adalah kecuaian. Kerana orang yang diberi amanah seperti pusat asuhan dan pengasuh dibayar untuk menjaga anak-anak, justeru menjadi tanggungjawab mereka memastikan keselamatan anak-anak itu.
Bukan sahaja keselamatan dari segi fizikal tetapi juga dari segi kasih sayang dan emosi bayi serta kanak-kanak itu juga perlu diambil berat.
Selain perkara ini terlalu kerap berlaku dan mungkin saya lihat ada sesetengah pusat asuhan serta pengasuh hanya mahukan untung dengan ambil ramai budak, tetapi bilangan pengasuh kurang. Sebab itu ada antara anak-anak tidak semua dapat diawasi setiap waktu. Jadi saya nampak di sini tanggungjawab sangat lemah.
Apakah yang kerajaan perlu lakukan supaya kejadian sama tidak berulang?
HUSHIM: Saya akui, pihak berkuasa akan jalankan kerja mereka apabila tragedi begini berlaku, namun lama-kelamaan ia senyap semula.
Maka pada pandangan saya, undang-undang mengenai perkara itu kita ada tetapi penguatkuasaannya masih lemah. Sebab itu tragedi serupa masih berlaku seperti tidak diambil pengajaran. Nak tunggu berapa ramai lagi mati, baru mahu ambil tindakan?
Sepatutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa terlibat perlu ambil serius isu ini. Kita ini di Malaysia, bila sudah berlaku baru kecoh. Ambil tindakan drastik sekiranya dapat kenal pasti taska yang tidak berlesen atau cuai. Ambil tindakan tegas agar mereka takut untuk ulangi kesilapan secara tidak langsung dapat mengelak kejadian bayi meninggal atau didera dan cedera. Di luar negara, bukan mudah sesebuah pusat jagaan mahu diwujudkan.
Ada pelbagai syarat perlu dipatuhi, jika tidak cukup, tidak boleh buka. Sekiranya ingkar dan masih buka, mereka berdepan hukuman berat, maka ia menakutkan. Jadi kita di sini seperti kerja low standard, kita ada undang-undang tetapi penguatkuasaan lemah.
Apabila tragedi berlaku, adakah ia salah ibu bapa atau salah pusat asuhan?
HUSHIM: Ia adalah kecuaian pusat jagaan tersebut kerana ibu bapa selalunya akan pastikan anak mereka dalam keadaan selamat setiap masa termasuk ketika memberi susu pada bayi. Namun ada antara pusat jagaan yang ramai kanak-kanak ketika waktu menyusu, mereka sendal botol susu dengan kain dan tinggal tanpa pengawasan sewaktu bayi itu menyusu, maka ia boleh berlaku kejadian tersedak susu. Pengasuh juga perlu ada latihan dan kursus khas penjagaan kanak-kanak kerana mereka telah dibayar dan diberi kepercayaan oleh ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka, maka tanggungjawab itu perlu dipegang dengan sebaiknya.
Apa yang perlu ibu bapa lakukan sebelum meletakkan anak mereka di pusat asuhan atau pengasuh?
HUSHIM: Sebelum hantar, ibu bapa perlu selidik dahulu pusat tersebut ada lesen atau tidak. Bilangan penjaga berapa, berapa ramai kanak-kanak yang diasuh, bayaran dan aspek keselamatan yang disediakan. Itu hak ibu bapa bagi memastikan anak mereka selamat. Jangan hantar anak melalui pengasuh yang dikenali melalui media sosial kerana mereka kebanyakannya tiada pengalaman serta latihan sepatutnya mengendalikan kanak-kanak.
Tidak boleh main hantar begitu sahaja kerana jika berlaku tragedi bayi lemas dan cedera, ibu bapa turut boleh dipersalahkan. Saya juga cadangkan setiap pusat asuhan wajib memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang boleh diakses oleh ibu bapa dalam memastikan anak asuhan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!