Gajah betina mati dirempuh treler di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU - Seekor gajah liar dianggarkan seberat 1.5 tan mati dirempuh sebuah treler membawa muatan biji besi (amang) di KM44 Jalan Kuala Berang - Aring, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, gajah betina dianggarkan berusia sekitar 7 hingga 9 tahun itu terperosok di bawah treler dipandu Emyhaizi Ahmad, 32, yang beralamat di Kampung Langkap, Setiu.
Menurut Emyhaizi, dia tidak sempat mengelak sekumpulan gajah berada atas jalan berikutan jarak terlalu dekat hingga terlanggar salah seekor haiwan berkenaan.
"Saya memulakan perjalanan sekitar jam 4 petang daripada Aring 8 menuju ke Pelabuhan Kemaman untuk menghantar amang.
"Sebaik menuruni bukit selepas satu selekoh, saya lihat sekawan gajah antara lima hingga enam ekor berada atas jalan dan cuba membrek namun gagal mengelak salah seekor daripada gajah tersebut.
"Hanya ALLAH sahaja tahu perasaan saya selepas itu apabila sekumpulan gajah berkenaan mengelilingi treler yang dipandu. Rasa seperti 'nyawa di hujung tanduk', saya takut gajah-gajah itu marah serta mengamuk.
"Syukurlah tidak berapa lama kemudian ada sebuah lori lalu dan mungkin terkejut, sekumpulan gajah yang terselamat ini kemudiannya masuk ke kawasan hutan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.
Tambah Emyhaizi yang hampir 10 tahun menjadi pemandu lori amang, dia kemudiannya menumpang kereta pengguna jalan raya untuk ke tempat kawannya yang berada kira-kira dua kilometer daripada lokasi kejadian.
"Dalam perjalanan itu saya sempat minta tolong peniaga kedai makan hubungi Perhilitan makluman kejadian dan saya berada bersama kawan saya itu lebih kurang setengah jam sebelum kembali ke lokasi kejadian.
"Sewaktu tiba saya lihat kakitangan Perhilitan telah pun ada di sini. Laluan ini hari-hari saya lalu dan selalu terserempak dengan gajah-gajah liar ini biasanya hanya di tepi jalan, kali ini betul-betul berada atas jalan," ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati bangkai gajah tersebut telah ditanam di kawasan berhampiran dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sekawan gajah liar tersebut melintas dari bahu jalan sebelah kiri dari arah Gua Musang untuk ke kanan jalan.
"Berikutan jarak yang terlalu dekat, pemandu treler tidak sempat mengelak lalu terlanggar seekor gajah yang cuba melintas jalan.
"Akibat daripada itu, gajah tersebut telah terperosok di bawah treler dan mati di tempat kejadian. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!