SMK Durian Tunggal johan Sketsa Rukun Negara
IPOH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal dinobatkan sebagai johan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2019 pada pertandingan akhir yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini semalam.
Sekolah mewakili Melaka itu menewaskan 14 pasukan dari negeri lain untuk membawa pulang piala pusingan, plak, sijil penyertaan serta wang tunai RM5,000.
Guru pembimbing, Chan Chin Ho berkata, latihan bagi menyertai pertandingan itu di peringkat negeri telah dimulakan sejak Mei lagi dan dipertingkat sebaik terpilih ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, mereka mengetengahkan tajuk 'Muhibah' yang mengisahkan nilai perpaduan dan kemakmuran selaras dengan pengertian setiap prinsip Rukun Negara.
"Berbanding kata-kata, penyampaian mesej menerusi seni lakonan seperti ini secara praktikalnya lebih difahami kerana itu, saya dibantu guru lain bersama Jabatan Penerangan negeri cuba menerapkan pengertian ini sebaiknya dalam rutin harian mereka.
"Hanya dengan cara itu, mereka dapat menyampaikan mesej sebenar dengan baik kepada audien seperti dilakukan hari ini," katanya.
Pertandingan bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' itu dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman.
Sementara itu, naib johan dimenangi SMK Sultan Ibrahim dari Johor dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Kelantan di tempat ketiga.
Masing-masing membawa pulang plak, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah RM3,000 dan RM2,000.
Program kali ini turut memberi inspirasi baharu kepada warga SMJK Chung Hwa yang baru pertama kali menyertai pertandingan itu.
Guru pembimbing, Nor Azilah Madon berkata, peserta bagi sketsa ini dipilih dalam kalangan pelajar tingkatan satu, tiga dan enam meliputi pelbagai kaum sebagai bukti perkongsian semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
Katanya, walaupun tanpa sebarang pengalaman, semua pelajar menunjukkan komitmen tinggi dengan melakukan kajian menerusi bacaan-bacaan tambahan di buku dan internet.
"Kami banyak berkongsi idea untuk menjayakan sketsa ini dan itu juga sebenarnya satu signifikan ke arah hubungan erat antara guru, pelajar dan sekolah," katanya.
Dalam pada itu, Suriani berkata, pertandingan Sketsa Rukun Negara yang merupakan aktiviti tahunan Kelab Malaysiaku adalah kali pertama diangkat ke peringkat kebangsaan sejak penganjurannya pada 2012.
"Selama ini, ia hanya diadakan di peringkat negeri sahaja. Bagaimanapun, melihat kepada sambutan yang baik ini, kita mungkin akan jadikan ia sebagai program tahunan.
"Penglibatan pelajar-pelajar ini selaras dengan objektif kita untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda," katanya.
Menurutnya, penyertaan tahun ini meningkat kepada 125 pasukan dengan penglibatan 6,633 pelajar berbanding 114 penyertaan sekolah dan 6,513 orang tahun lalu.
"Jumlah ini menunjukkan respon positif diberikan Kelab Malaysiaku dan dianggarkan setakat ini, hampir 35,000 pelajar telah didedahkan dengan program ini," katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Penerangan sentiasa komited dalam mewujudkan rakan strategik yang menjadi ejen pemasaran dasar-dasar kerajaan.
Katanya, seperti penubuhan Kelab Malaysiaku yang dimulakan pada 2005 lalu, ia merupakan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan sebagai satu kegiatan kokurikulum pelajar.
"Sehingga kini, sebanyak 809 Kelab Malaysiaku dengan keahlian 28,315 pelajar telah ditubuhkan di seluruh negara dan di Perak sahaja, sebanyak 64 kelab dengan keahlian 2,560 pelajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!