Benarkah Cina Muslim kuat berdakwah?

Ridhuan Tee Abdullah
Ridhuan Tee Abdullah
A
A
A

APABILA Firdaus Wong mengkritik peranan Cina Muslim, secara umum, yang tidak begitu agresif dalam menyampaikan dakwah, tiba-tiba Johari Yap secara defensif dalam kolumnis Sinar Harian, berhujah balas dengan menampilkan tokoh-tokoh dakwah Cina Muslim yang dikatakan aktif melakukan kerja-kerja dakwah.

Beliau turut mengaitkan beberapa individu tersebut dengan kecemerlangan akademik, ahli keluarga yang kononnya hafiz dan lain-lain sebagai melawan hujah. Ini bukan berhujah tetapi menujah?

Saya minta Johari Yap buatlah kajian. Lihat dengan mata kepala sendiri apa yang Firdaus Wong lakukan berbanding yang lain. Jauh bezanya, meskipun saya tidak menafikan ada Cina Muslim yang aktif. Firdaus Wong yang saya kenali sekian lama, tidak pernah jemu dengan kerja dakwah, street dakwah dan mendekati non Muslim penuh hikmah.

Hujah balas Johari Yap begitu naif dalam memahami teks dan konteks ceramah yang disampaikan oleh Firdaus Wong.

Menonjolkan individu Cina Muslim sebagai alat berhujah, saya fikir belum cukup kuat. KPI Cina Muslim adalah pada badan NGOnya dakwahnya seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Sejauhmana Islam dapat disampaikan kepada sasaran?

Begitu juga sejauh mana lantangnya MACMA berjuang mempertahankan Islam apabila Islam dihina dan dikeji oleh musuh-musuh Islam? Dalam negeri dan luar negara. Saya tidak pernah dengar MACMA bersuara terhadap kekejaman komunis China kepada umat Islam Uighur.

Firdaus Wong hanya mengingatkan Cina Muslim supaya memainkan peranannya, tidak lebih daripada itu. Kenapa begitu cepat terasa? Buatlah muhasabah.

Kenapa ruang dan peluang tidak digunakan untuk menyampaikan dakwah terutama ketika sasaran datang kepada kita. Tidak ada Cina Muslim yang tampil untuk menerangkan Islam kepada Cina non Muslim yang datang melawat masjid negara dan masjid Putrajaya. Ini satu kerugian besar.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini pernah kami bincangkan dan lakukan ketika mula-mula menubuhkan MACMA. Kini MACMA sudah jauh tersasar daripada objektif sebenar.

Trend MACMA hari ini lebih kepada mencinakan Islam daripada mengIslamkan Cina. Sama seperti multi kultural yang kononnya mahu menarik Cina mendekati Islam. Saya masih tidak nampak ada minat ke arah itu. Angka pemelukan Islam tetap kekal satu peratus daripada keseluruhan Cina.

Saya terasa malu ketika perayaan tanglung, Cina Muslim berarak satu taman bersama tanglung, sedangkan Cina yang menyambut tanglung pun tidak setanglung Cina Muslim.

Sebenarnya Cina Muslim ini mau jadi Cina yang macam mana? Menjadi Cina Islam atau menjadi Cina secina-cina Islam?

Johari Yap agak tersasar apabila mengengahkan Ust Ebeit Liew dalam memperkatakan dakwah kepada bukan Islam. Ebeit Liew bukan mualaf. Dia lahir keluarga mualaf. Fokus Ebeit Liew bukan kepada Cina Muslim. Saya tidak fikir beliau aktif dalam persatuan Cina Muslim.

Dalam berdakwah tidak ada yang perlu disembunyikan. Berani kerana benar. Takut kerana salah.

Semua kebenaran harus disampaikan dan dipertahankan. Sabda Rasulullah saw.,”Katakanlah yang benar walaupun terasa pahit”.

Saya gariskan beberapa perkara untuk muhasabah Cina Muslim. Apabila telah memeluk Islam.

Pertamanya,perkemaskan diri dengan ilmu asas Islam agar dapat berdakwah. Sekadar bekerja dengan baik dengan kelayakan akademik dan anak-anak hafiz tidak cukup. Firdaus Wong tidaklah hebat kelayakan akademiknya, tetapi semangat beliau begitu tinggi dalam dakwah walaupun tidak ada ijazah menjela dan beribu penerbitan.

Tanggungjawab besar Cina Muslim adalah mengIslamkan Cina, bukan mencinakan Islam. Inilah yang sepatutnya menjadi KPI MACMA bukan menonjolkan individu tertentu yang boleh dipertikaikan kewibawaannya.

Saya naik bosan mendengar ceramah Cina Muslim, setiap kali ceramah, diulang-ulang kenapa dia tidak tukar nama, kekal nama Cina. Macam sudah tidak ada idea. Salahkah jika Cina Muslim jika ubah sedikit (tambah) nama asal, seperti Firdaus Wong atau Johari Yap?

Bukankah di situ ada kebaikannya, sekurang-kurangnya orang tahu kita telah Islam. Zakir Naik pun tidak nampak sangat nama Indianya, tetapi berapa ribu bukan Islam telah diIslamkan. Mengislamkan orang bukan terletak kepada nama Cina kita, tetapi usaha dan ilmu kita.

Dakwah perlu juga melihat kepada fiqh Malaysia, bukan terlalu kecinaan. Dakwah multikultural pun tidak ke mana. Berapa ramai masuk Islam hasil daripada dakwah mencinakan Islam?

Kedua, fokus dakwah kepada ahli keluarga dahulu, terutama ibu bapa dan adik-beradik, pastikan mereka lembut dengan Islam, jika tidak pun masuk Islam. Sampaikan dengan cara santun dan lemah lembut.

”Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu...” (Q.S. Ali 'Imran:159)

Ketiga, meraikan perbezaan. Apabila kita berhujah dengan seseorang, jika gagal mencari titik temu, hargai pendapat mereka, dan tidak semestinya kita memaksa mereka untuk tunduk kepada pendapat dan ajakan kita. Inilah yang cuba dilakukan oleh Firdaus Wong. Berapa ketul Cina Muslim yang tampil ‘membela’ beliau berhadapan dengan Siti Kasim dan musuh-musuh Islam yang membuat ugutan bunuh kepada beliau.

Keempat, Cina Muslim mesti terus belajar dan belajar. Tambah ilmu daripada semasa ke semasa. Rajin berdakwah tidak cukup jika ilmu Islam begitu cetek. Naik malu kadang-kadang memberi salam, dan baca bismillah dan selawat pun tidak betul.

Kelima, pepatah Melayu ada berkata di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita bukan berada di negara China tetapi Malaysia, negeri majoriti orang Islam (Melayu). Jaga hati mereka sama. Jangan sampai sifat terlalu kecinaan sehingga merenggangkan hubungan dengan Melayu. Bina masjid rekabentuk Cina sehingga menjadi secina-cinanya, sehingga menimbulkan keresahan orang Melayu.

Terbukalah sedikit, campurlah dengan seni reka bentuk Melayu, India dan Arab, barulah multikultural.

Benar, kita bukan mahu menjadi Melayu, tetapi cubalah memahami Melayu, jika masih totok Cina. Jangan hanya pandai mengutuk Melayu tidak buat kerja dakwah seperti kata Firdaus Wong.

Kesimpulannya, berhujahlah dengan asas apa yang benar, apa yang salah, bukan siapa. Perjuangankan dan sampaikan kebenaran walaupun pahit. Tidak perlu menjadi terlalu ekstrem kecinaan sehingga menjadi lebih Cina daripada Cina. Dakwah Kristian kepada orang Cina, tidak pernah pun mereka menjadi Cina, tetapi ramai juga yang memeluk Kristian. Kenapa? Mereka buat kerja, mereka outreach, mereka down-to-earth. Cina Muslim seperti tokoh yang ditonjolkan oleh Johari Yap bagaimana?

* Ridhuan Tee Abdullah, Pendakwah agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!