Parah selepas rempuh lori, kereta
KUALA SELANGOR - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila kereta dipandunya merempuh dua kenderaan di hadapannya di Kilometer 45.5 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran lampu isyarat di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu mengakibatkan mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya berusia lingkungan 40-an mengalami cedera parah pada bahagian muka dan dada.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Mohd Faisal Jumari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.13 pagi.
"Operasi diketuai Komander Operasi, Ahmad Rozali Jaimi bersama tujuh anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.
"Bomba mengambil masa selama 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit dan kemudiannya menyerahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.
Mohd Faisal memberitahu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa memandu bersendirian jenis Honda Accord gagal mengawal kenderaan terbabit.
"Siasatan awal mendapati mangsa melanggar belakang lori jenis Mitsubishi di hadapannya di lorong kiri dan kemudiannya melanggar belakang kereta jenis Honda Civic yang berada di lorong kanan.
"Polis masih belum mengenal pasti semua identiti mangsa terlibat dan masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!