'Saya tak hidap sakit mental'
KULAI - "Saya tak hidap sakit mental. Kalau saya sakit mental, macamana boleh bekerja dan besarkan lima anak," demikian luahan seorang ibu tunggal, Dahlia Selamat, 40, yang kisahnya baru-baru ini tular di media sosial.
Dia dikatakan penghidap penyakit mental yang menjaga lima orang anak dan dihalau keluar dari rumah sewa mereka di Flat Cengal, Taman Putri Kulai.
Dahlia berkata, dia menangis ketika mengetahui namanya ditularkan dengan kisah yang tidak benar.
"Bukan setakat nama, tapi gambar dan nombor telefon saya pun tersebar. Telefon saya asyik berdering siang malam," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia telah mendapat bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.
Wanita itu berkata, dia bekerja di kilang tauhu berdekatan rumah bagi menyara lima anak berusia 7 hingga 18 tahun.
"Duit gaji keluar 30 haribulan, saya akan bayar sewa rumah RM250 sikit dulu, sementara menunggu duit bantuan keluar.
"Pemilik rumah dah tahu cara saya bayar sewa. Sudah dua tiga tahun saya menyewa di sini. Saya rayu hentikanlah tular kisah yang tidak benar itu," katanya.
Dahlia turut bercadang membuat laporan polis bagi mencari keadilan kerana kisah tular itu memalukan dirinya dan keluarga.
Sementara itu, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kulai menerusi kenyataan dikeluarkan memaklumkan, lawatan telah dilakukan ke rumah wanita berkenaan sebelum ini bagi meninjau keadaan sebenar.
Siasatan mendapati pelbagai agensi kerajaan telah membantu keluarga ini termasuk dari pihak Ahli Parlimen Kulai.
Baru-baru ini, keluarga ini mengalami masalah untuk menjelaskan sewa rumah yang tertunggak dan kemudian diarahkan untuk mengosongkan rumah sewa mereka.
Pelbagai agensi dan individu termasuk ketua kampung, pihak pengurusan Rumah Pangsa Flat Cengal dan Yayasan Sejahtera sedang membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi keluarga ini termasuk menanggung kos deposit rumah sewa mereka yang baharu.
Masalah anak-anak wanita ini yang dipercayai telah dibuang sekolah turut diuruskan sebaik mungkin setelah urusan tempat tinggal mereka selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!