IRDA, Suruhanjaya Tinggi British jalin kerjasama
ISKANDAR PUTERI - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi British bagi mengukuhkan perancangan bandar dan pengangkutan di lskandar Malaysia.
Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kerjasama di bawah Program Kemajuan Global Bandar Masa Depan United Kingdom (UK) yang berlangsung selama tiga tahun hingga 2022 itu membabitkan peruntukan sebanyak RM16 juta.
"Di bawah program ini, kira-kira RM16 juta telah diperuntukkan untuk kerjasama dalam dua projek yang disiarkan.
"Pertama, projek Smart Management Integrated Mobility System (SMIMS) yang akan menyaksikan perkembangan strategi pelaksanaan lskandar Smart Integrated Mobility Malaysia Sistem Pengurusan.
"Kedua, penggunaan data dan pengurusan data untuk Urban Based Evidence dan projek perancangan pengangkutan yang bertujuan untuk memperkenalkan sokongan keputusan perancangan yang menggunakan data dari sistem mobiliti bersepadu untuk mencapai hasil perancangan bandar yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mewakili IRDA dengan Suruhanjaya Tinggi British yang diwakili Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay serta disaksikan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Beliau berkata, secara amnya, projek-projek yang dicadangkan itu bertujuan menggalakkan pergerakan pengangkutan yang efisien di lskandar Malaysia.
"Selain itu, ia menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selaras dengan operasi hasil sistem Rapid Transit (BRT) pada tahun 2022.
"BRT turut menggalakkan bandar-bandar yang boleh diakses, bersambung dan inklusif yang menyumbang kepada kemakmuran bandar secara keseluruhan, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan dan pelaksanaan agenda bandar baharu (NUA)," katanya.
Sementara itu, Charles berkata, UK adalah pemimpin dunia dalam konsep bandar raya masa depan yang merangkumi infrastruktur, pembinaan, piawaian dan perkhidmatan kewangan.
"Kami mengambil pendekatan holistik untuk pembangunan bandar raya masa depan dengan mengambil kira faktor sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik.
"Saya gembira dapat bekerjasama dengan IRDA untuk membangunkan lskandar Malaysia menjadi metropolis antarabangsa yang mantap dan lestari," katanya.
Dalam pada itu, Sahruddin berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan kerjasama bersama pihak yang berpengalaman dan kepelbagaian sumber dengan hasilnya bakal memanfaatkan rakyat Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!