Tiga premis haram di Pasir Gudang diserbu
PASIR GUDANG - Tiga premis membabitkan kilang kitar semula sisa plastik, kilang besi buruk dan sebuah bengkel diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi ke atas kilang-kilang haram di sekitar Pasir Gudang, hari ini.
Daripada tiga premis tersebut, sebuah kilang kitar semula sisa plastik menerima notis penahanan operasi oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Selain itu, kilang tersebut juga menerima notis daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) agar menghentikan operasi kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Turut ditahan seramai 12 warga asing terdiri dari 11 lelaki dan seorang wanita dari Bangladesh, Indonesia serta China di bawah Akta Imigresen 1959/63 dalam operasi ke atas tiga premis terbabit.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kilang kitar semula plastik itu telah diambil tindakan di mana premis terbabit disita pihak berkuasa.
Menurutnya, hasil serbuan ke atas kilang itu, pihaknya juga menemui sisa-sisa plastik dipercayai dari luar negara.
"Jadi kita akan maklumkan kepada pihak kementerian (Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
"Ini supaya kita dapat membuat sekatan ke atas sisa-sisa plastik yang diimport dari luar negara," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Chen Choon berkata, sisa-sisa plastik yang diimport dari luar negara itu juga akan dipastikan dapat dikembalikan ke negara asal.
Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, katanya, dua premis lain yang diserbu merupakan kilang besi buruk dan bengkel dijadikan stor besi buruk.
"Kita juga akan minta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain untuk menyenaraikan nama nama kilang yang kita syaki mungkin haram.
"Kita akan siasat, mana-mana yang ada pelanggaran dengan undang-undang, kita akan ambil tindakan," katanya.
Antara agensi yang terlibat dalam operasi diketuai JAS Johor itu adalah MPPG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Ranhill SAJ.
Turut hadir, Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!