Tiga maut, 15 cedera insiden tembakan di festival makanan AS
CALIFORNIA - Tiga orang maut sementara sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera susulan insiden tembakan di sebuah festival makanan di California, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Ketua Polis Bandar Gilroy, Scot Smithee berkata, pihak berkuasa berjaya menembak mati suspek dalam masa kurang satu minit.
Insiden tembakan terjadi pada hari terakhir Gilroy Garlic Festival, salah satu festival makanan terbesar di AS yang diadakan di bandar Gilroy, kira-kira 48 kilometer tenggara San Jose, California.
Lokasi kejadian dianggap masih aktif dan menurut Smithee, operasi mengesan sama ada terdapat suspek lain sedang dijalankan.
"Kami percaya berdasarkan kenyataan saksi, kemungkinan terdapat individu kedua yang turut terlibat," katanya kepada wartawan.
Smithee menambah, suspek berkemungkinan memasuki tapak festival seluas 50 ekar menerusi sebuah anak sungai dan menggunakan peralatan memotong untuk memecah masuk perimeter.
Motif insiden belum diketahui namun penembak kelihatan melakukannya secara rambang.
Dalam pada itu, seorang saksi bernama Julissa Contreras memberitahu NBC, seorang lelaki kulit putih dalam lingkungan umur 30-an bersenjata raifal melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung.
"Saya melihatnya melepaskan tembakan ke setiap arah, dia tidak menyasarkan tembakan kepada sesiapa secara khusuh," kata Contreras dipetik NBC.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan menerusi Twitter anggota penguatkuasa berada di lokasi kejadian di Gilroy dan memberi peringatan kepada orang ramai agar berjaga-jaga.
Bermula pada tahun 1979, Gilroy Garlic Festival merupakan acara tahunan selama tiga hari yang menyajikan makanan, minuman dan persembahan langsung selain menganjurkan pertandingan memasak. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!