Pas Perak tak terjejas dengan tindakan ahli keluar parti
IPOH - Pas Perak menyifatkan tindakan 49 ahlinya termasuk bekas pemimpin kawasan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), baru-baru ini tidak menjejaskan parti itu
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, pihaknya tidak melihat tindakan itu sebagai ancaman kerana tindakan seperti itu disifatkan terpencil.
Menurutnya, Pas Perak mempunyai kekuatan tersendiri kerana kebanyakan ahli ditarbiah dengan baik dan tidak sesekali meninggalkan perjuangan parti.
"Ini cuma kes terpencil. Tak langsung menjejaskan Pas Perak. Semua ahli telah diberikan tarbiah tentang kerjasama Pas dan UMNO. Mereka faham tentang perjuangan parti.
"Yang keluar ini pun kita tak tahu betul ke semua ahli Pas. Kalau betul pun, mungkin mereka tak datang tarbiah parti kerana kita dah jelaskan kepada ahli tentang kerjasama ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Dalam pada itu, Razman berkata, tindakan pihak terlibat keluar parti juga tidak akan menjejaskan kerjasama Pas dan UMNO.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan terbabit yang keluar Pas akan menyesal melihat gabungan parti terbesar yang bakal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
ARTIKEL BERKAITAN: 49 ahli Pas sertai Amanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!