MTC Gold Awards 2019 iktiraf penggiat industri pelancongan
SHAH ALAM - Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) sekali lagi akan menganjurkan MTC Gold Awards 2019 untuk mengiktiraf penggiat industri pelancongan dalam dan luar negara.
Penganjuran kali ketiga ini bakal diadakan pada 25 Oktober ini bertempat di Palace of Golden Horses, Kuala Lumpur.
Presiden MTC, Uzaidi Udanis berkata, lebih 80 anugerah akan diberikan kepada peserta sebagai tanda kecemerlangan dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia.
“Anugerah berprestij ini juga sebagai penghargaan buat individu dan organisasi yang banyak memberi sumbangan dalam pembangunan industri pelancongan Malaysia.
“Ia juga menggalakkan industri pelancongan dan hospitaliti di Malaysia untuk mempromosikan perniagaan dan jenama pelancongan yang mencipta imej positif negara di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, anugerah itu ibarat ‘Anugerah Oscar’ bagi penggiat industri pelancongan dan perhotelan di negara ini.
“Acara ini juga merupakan satu peluang untuk meraikan pihak terbabit, sekali gus sebagai usaha mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.
Majlis berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!