Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan kelemahan dolar itu yang mendorong permintaan terhadap mata wang selamat dan negara sedang membangun lain, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi ini, ringgit didagangkan pada paras 4.1750/1790 berbanding dolar AS berbanding 4.1830/1860 sewaktu dagangan ditutup pada Isnin.
Pasaran tempatan ditutup semalam bersempena cuti Krismas.
Seorang peniaga berkata dolar AS diasak tekanan ketika Washington bergelut dengan penutupan separuh fungsi pentadbiran selain konfrontasi terbuka antara bank pusat negara itu dengan kerajaan Presiden, Donald Trump.
Sewaktu dibuka pagi ini, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0423/0459 berbanding 3.0451/0484 pada Isnin dan tinggi berbanding euro kepada 4.7599/7649 daripada 4.7661/7704, sebelum ini.
Namun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada paras 3.7738/7785 daripada 3.7651/7681 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2997/3052 daripada 5.2907/2957 sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!