Lima item wajah patut lelaki guna pakai
PERINGATAN kepada golongan jejaka. Jangan sesekali mengabaikan penjagaan kulit wajah kerana ia mencerminkan tahap kebersihan penampilan diri.
Tepis stigma bahawa untuk memiliki kulit wajah sihat dan cantik memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Walhal, memadai membeli lima item utama yang mempunyai fungsi tersendiri. Produk tersebut terdiri daripada:
1) Pencuci wajah
Baik wanita mahupun lelaki, anda disarankan mencuci wajah sebanyak dua kali sehari iaitu sebelum atau selepas bangun daripada tidur.
Definisi membersih di sini bukan bermaksud menggunakan air bersih semata-mata, sebaliknya wajar mengaplikasi produk pencuci pada keseluruhan wajah.
Namun begitu, pastikan produk berkenaan bersesuaian dengan jenis kulit wajah.
2) Krim pelembap
Selesai mencuci oleskan krim pelembap yang bebas kandungan terlarang sambil membelai dan mengurutnya. Langkah itu adalah untuk membantu menganjalkan kulit wajah.
3) Krim pelindung UV
Sebelum keluar rumah sama ada ke tempat kerja atau beriadah jangan lupa menyapu krim pelindung sinaran ultra violet (UV).
Rutin penjagaan berkenaan membantu melindungi kulit wajah daripada selaran matahari yang boleh menyebabkan masalah kulit seperti pigmentasi.
4) Krim pencukur
Jangan mencukur, janggut, jambang ataupun misai dengan menggunakan pencuci muka atau sabun biasa.
Seharusnya, anda perlu menyapu krim pencukur terlebih dahulu. Bahan-bahan yang terkandung dalam krim itu membantu melancarkan proses mencukur, sekali gus mengelakkan luka.
5) Losen cukur
Selepas mencukur, cuci wajah dengan bersih dan sapu losen bersesuaian mengelakkan kulit menjadi kering.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!