Lang Merah kekal prestasi cemerlang hadapi ACL: Mukhriz

Mukhriz (tengah) bersama pemain dan Piala FA ketika sambutan di Dataran Wisma Darul Aman, hari ini.
Mukhriz (tengah) bersama pemain dan Piala FA ketika sambutan di Dataran Wisma Darul Aman, hari ini.
A
A
A

KEDAH tidak mahu hanya digelar jaguh kampung setelah menjulang juara Piala FA kali kelima sebaliknya akan memastikan prestasi pasukan kekal cemerlang untuk berdepan saingan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kedah akan menggandakan usaha dan memberi tumpuan kepada ACL dan Piala Malaysia bagi menambah trofi pasukan itu.

“Kita terpaksa bersaing untuk pusingan kelayakan, ini cabaran besar sebab kita tak mahu digelar jaguh kampung.

"Kita akan pamerkan prestasi permainan tetap hebat walau di mana peringkat, kerana saingan Asia lebih mencabar dibarisi pasukan taraf antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas meraikan sambutan Lang Merah bersama Piala FA, yang diarak menggunakan bas dua tingkat sekitar bandar raya Alor Setar sejauh tujuh kilometer, sebelum disambut Mukhriz dan penyokong di Dataran Wisma Darul Aman hari ini.

Ditanya mengenai imbuhan kepada pasukan, Mukhriz tetap dengan pendiriannya sebelum ini untuk merahsiakan nilai imbuhan diberikan selepas menjulang trofi Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

“Nilai imbuhan sudah ditetapkan, cuma kita hanya berurusan dengan pemain dan pihak pengurusan. Saya jangkakan imbuhan itu akan diagihkan dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan nilai imbuhan terus kepada pemain dan pengurusan pasukan.

“Saya ingat pemain pun lebih suka jika tak diumum secara terbuka kerana terlalu peribadi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya sama ada kantung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengalami masalah kewangan menyebabkan nilai imbuhan tidak didedahkan, beliau yang juga Presiden KFA tidak menafikan perkara itu.

“Kantung memang sentiasa tidak pernah cukup, tetapi kita ada dapat daripada penaja terutama selepas Kedah menang. Kita akan agihkan kepada semua pemain dan pengurusan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pemain import, Mukhriz menyerahkan sepenuhnya pemilihan pemain kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak kerana yakin dengan kemampuannya.

“Kita tak mahu campur tangan sehingga ke tahap ‘ikat tangan’ Aidil, jika dia rasakan prestasi pemain tidak konsisten atau kurang menyerlah, dia bebas buat cadangan dan perubahan,” katanya.

Mukhriz juga yakin sesi latihan dan pendedahan kepada corak permainan pasukan antarabangsa dengan menjalin kerjasama bersama Cardiff City, Perth Glory dan Songkhla United, Thailand, banyak menyumbang kepada prestasi pasukan.

“Kita juga akan terus mencungkil bakat muda menerusi program Kenari Kid untuk digilap sebagai pemain berpotensi, seterusnya dapat mewakili Kedah. Ini sumbangan kita kepada negara kerana Kedah seakan menjadi kilang pengeluar pemain ternama, dan pastinya kita mahu kekalkan pemain terbaik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!