Rusa mati dilanggar bukan kejadian pertama
KEMAMAN - Insiden seekor rusa mati dilanggar berhadapan Terminal Minyak Mentah Terengganu (TCOT) Kerteh kelmarin bukanlah perkara pertama kali berlaku di laluan itu.
Penduduk Kampung Labohan, Muhammad Ali Mimi Ali, 32, berkata, ia merupakan kejadian kedua selepas kemalangan pertama yang berlaku di kawasan tersebut pada awal tahun lalu.
"Kemalangan pertama itu melibatkan sebuah motosikal yang gagal mengelak seekor rusa yang melintas jalan secara tiba-tiba. Tak sangka kejadian sama berlaku lagi tahun ini.
"Tapi kami tak terkejut, sebab kawasan ini dekat dengan beberapa hutan tebal yang memang jadi habitat haiwan liar dari dulu," katanya.
Kawasan hutan terbabit adalah Bukit Labohan, Cagar Hutan dan Tanjung Batu yang sememangnya diketahui menjadi habitat binatang liar termasuk rusa, harimau belang, beruang matahari, tapir, babi hutan dan ular sawa.
Bagaimanapun Muhammad Ali memberitahu, seiring dengan arus pembangunan, populasi haiwan liar itu juga mungkin sudah berkurangan berbanding puluhan tahun lalu.
"Babi hutan masih banyak lagi. Tiga tahun lepas, ada juga kes babi keluar hutan berkeliaran tapi beruang dan harimau tu jarang-jarang muncul.
"Di kawasan ni juga ada kandang rusa di Taman Rusa," kata pekebun itu.
Sementara itu, penternak lembu, Abdul Karim Mamat, 53, berkata, beberapa tahun lalu, penduduk juga ada membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kemunculan tapir di kawasan laluan itu.
"Lepas pihak berkuasa datang, tak jumpa dah haiwan tu, mungkin sebab dah masuk hutan semula.
"Hutan sekitar sini memang banyak binatang buas, kera pun masih banyak. Kalau harimau dulu ada tapi sekarang mungkin dah masuk hutan lagi tebal," katanya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.10 pagi semalam, seekor rusa betina mati dilanggar motosikal menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Muhammad Shahrul Putra M Saidi, 20, mengalami patah paha kiri dan tulang selangka.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, hasil siasatan mendapati rusa itu adalah Rusa Timor atau nama saintifiknya cervus timorensis dari spesies luar negara, Indonesia.
Kemalangan itu tular di media sosial apabila gambar mangsa dan rusa tersebar dengan cepat.
Kemunculan pelbagai haiwan liar yang hampir pupus di Terengganu sejak minggu lalu menarik perhatian ramai termasuk netizen yang meninggalkan pelbagai komen lucu di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Rusa mati dilanggar di Kerteh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!