Penyu ditemui mati di Langkawi

Seekor penyu agar ditemukan mati dalam keadaan terapung di kawasan perairan berhampiran Pantai Pasir Tengkorak pagi tadi. - Foto BERNAMA
Seekor penyu agar ditemukan mati dalam keadaan terapung di kawasan perairan berhampiran Pantai Pasir Tengkorak pagi tadi. - Foto BERNAMA
A
A
A

LANGKAWI - Seekor penyu agar ditemukan mati dalam keadaan terapung di kawasan perairan berhampiran Pantai Pasir Tengkorak, di sini pagi tadi.

Bangkai penyu yang dianggarkan lebih 80 kilogram itu ditemui kira-kira 11 pagi oleh tiga kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis bersama dua anggota komuniti Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark yang melakukan tugasan memeriksa peranti agregasi ikan di lokasi berkenaan.

Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada bangkai penyu tersebut yang kemudian ditanam di sebuah lokasi di Pulau Jemuruk.

Sementara itu, Ketua Daerah Pejabat Perikanan Daerah Langkawi Azahar Ahmad berkata pihaknya belum menerima laporan mengenai penemuan bangkai penyu tersebut.

“Komuniti nelayan memang mengetahui sebarang penemuan hidupan marin yang terancam sama ada hidup atau telah mati perlu dilaporkan kepada pihak kami sebagai rekod. Jika mendapat laporan kakitangan akan pergi untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Azahar berkata perairan Langkawi memang menjadi kawasan tumpuan penyu kerana memiliki banyak makanan seperti rumpai laut, namun tiada sebarang lokasi direkodkan sebagai kawasan pendaratan penyu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!