Murid berdepan detik cemas angkara pencemaran asap
SUNGAI PETANI- Seramai 462 warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong berdepan detik cemas terhidu asap pembakaran terbuka jam 7 pagi tadi.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lai Miew See berkata, pihaknya menyedari terdapat kepulan asap dan bau busuk ketika berada di pekarangan sekolah dan mengesyaki ia berpunca daripada pembakaran terbuka.
Menurutnya, murid, waris, guru dan kakitangan sekolah memakai topeng muka kerana sukar bernafas, pedih mata dan sakit kepala.
“Kami bimbang berlaku pencemaran udara yang serius seperti baru-baru ini sehingga mengakibatkan pembelajaran terganggu dan aktiviti luar kelas juga terjejas,” katanya.
Katanya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda agar siasatan dilakukan.
Dalam pada itu, Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar dan juga PIBG SJKC Tai Tong di Taman Kempas mendakwa berlaku pencemaran udara dan menjalankan siasatan ke lokasi terlibat.
“Siasatan mendapati lokasi pembakaran dekat kilang dan beberapa agensi diarah untuk padam kebakaran dan siasatan diteruskan,” katanya ketika memantau lokasi pembakaran terbuka di Kampung Serukam, Sungai Petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!