Pelajar praktikal hilang dikhuatiri jatuh dari kapal tunda
ALOR GAJAH - Seorang pelajar yang sedang mengikuti latihan industri sebuah syarikat operator pelabuhan dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir daripada kapal di perairan Selat Melaka kira-kira dua batu nautika dari jeti nelayan Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi.
Kehilangan mangsa, Muhammad Afizudin Aidzuhan, 20, disedari anak kapal lain kira-kira jam 1 tengah hari tadi sebelum melaporkan kehilangannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan kira-kira jam 5 petang tadi.
Menurutnya, pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin di Kolej Ranaco di Kemaman, Terengganu itu sudah enam bulan menjalankan latihan industri di kapal tunda Tag Nur Tiga.
"Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat pada jam 11.50 malam Ahad ketika sedang bertugas membuat pemantauan di kapal ‘Bunga Mas 6’ bersama seorang lagi anak kapal.
"Difahamkan, remaja itu memaklumkan pada rakannya untuk pulang sebentar ke kapal Tag Nur Tiga bagi mengambil barang sebelum dilaporkan tidak kelihatan sehingga tengah hari tadi," katanya ketika ditemui jeti nelayan Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi di sini.
Katanya, usaha syarikat perkapalan terbabit, Tag Marine memulakan pencarian sejak pagi tadi sehingga petang namun masih menemui jalan buntu.
"Selepas jam 4 petang masih tidak ditemui lalu mereka membuat laporan polis tentang kehilangan dan selepas itu APMM mengaktifkan operasi mencari kira-kira jam 5 petang yang turut melibatkan semua agensi penyelamat.
Azman berkata, SAR yang digerakkan bersama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu melibatkan radius pencarian seluas 25 batu nautika persegi.
"Seramai 11 anggota Maritim Malaysia, tujuh anggota APM, lima polis dan 15 anggota bomba termasuk lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu digerakkan ke lokasi pencarian.
"Bagaimanapun kerja-kerja menyelam hanya dijalankan esok ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan manakala operasi pencarian pada permukaan diteruskan sehingga tengah malam ini dengan bantuan nelayan tempatan," katanya.
Menurutnya, Muhammad Afizudin yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu sepatutnya menjalankan latihan industri selama lapan bulan di atas kapal tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!