Kerajaan Selangor teliti, bantu pemain badminton negeri
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memantau dan meneliti keperluan pemain badminton negeri sekaligus mengambil segala langkah perlu untuk membantu pemain.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya berbangga dan berterima kasih kepada pemain yang berjaya mengharumkan nama negeri dengan menjuarai Liga Remaja Air Asia-BAM 2018.
“Kami harap pemain Selangor akan terus meningkat maju dan kekalkan prestasi pada kejohanan ini di masa akan datang.Kerajaan negeri akan pantau dengan lebih dekat keperluan mereka dan ambil segala langkah perlu untuk membantu pemain.
“Saya akan bertemu pemain dan pasukan badminton bagi memastikan prestasi pemain Selangor kekal di tahap terbaik,” katanya.
Terdahulu, akhbar melaporkan Selangor berada dalam kelas tersendiri selepas mempertahan gelaran juara Liga Remaja Air Asia-BAM 2018 dengan mendominasi kategori lelaki dan perempuan pada hari terakhir kejohanan, Ahad lalu.
Pusingan akhir yang menggunakan format berpasukan menyaksikan Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-2 dalam kategori lelaki diikuti kejayaan 3-1 skuad wanita yang turut menundukkan Pulau Pinang.
Selangor memperoleh mata pertama menerusi Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang mudah mengatasi Teh Jin Hong 21-18 dan 21-10 sebelum Pulau Pinang bangkit mengutip dua mata masing-masing menerusi gandingan Goh Boon Zhe-Tan Yi Han dan Low Eu Cong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!