Suspek langgar polis diburu

Kenderaan suspek ditemui dalam semak dekat Jalan Ambangan Heights, Sungai Petani.
Kenderaan suspek ditemui dalam semak dekat Jalan Ambangan Heights, Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua suspek diburu kerana melanggar anggota polis sebelum melarikan diri dalam kejadian di tempat letak kereta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tindakan itu menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan jenis Mazda 323 terbabit dalam kejadian jam 6.25 petang.

"Kita menemui kereta itu berdekatan semak di Jalan Ambangan Heights kira-kira 1 kilometer dari HSAH, namun kedua-dua suspek menghilangkan diri," katanya.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek dilakukan pasukan forensik polis.
Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek dilakukan pasukan forensik polis.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berpunca daripada kemalangan yang berlaku di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kira-kira jam 5.30 petang apabila suspek dikatakan bertindak agresif selepas diminta mengalihkan kenderaan ketika cuba membantu mangsa kemalangan.

"Seorang anggota polis berpakaian preman mengarahkan suspek mengalihkan kenderaan namun mereka bertindak agak agresif. Suspek sekali lagi ditemui di HSAH selepas menghantar mangsa kemalangan mendapatkan rawatan.

"Dua lelaki itu kemudian diarahkan dua anggota polis untuk keluar dari kenderaan namun enggan berbuat demikian, sebaliknya terus melanggar sehingga menyebabkan seorang anggota cedera pada kaki," katanya.

Menurutnya, polis menahan dua penumpang wanita yang dipercayai ditinggalkan suspek di hospital bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan dalam kenderaan menemui empat topi keledar, tong minyak dan peralatan menghisap dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!