Pengorbanan suami jaga isteri kudung
GUA MUSANG - Seorang suami dari Kampung Renok Baru di sini terpaksa berhenti kerja demi menjaga isterinya yang kudung sebelah kaki dan menghidap penyakit kronik.
Itu pengorbanan yang dilakukan Rohaizad Che Soh, 41 yang kini tidak mempunyai punca pendapatan kerana menggalas tugas menguruskan isteri termasuk dua anaknya masing-masing berusia 9 dan 5 tahun.
Rohaizad berkata, isterinya, Nik Noor Saliza Mohd Yusof, 31 menghidap penyakit kencing manis kronik sejak berusia 20 tahun dan akibat penyakit tersebut kaki kanannya terpaksa dipotong hingga paras lutut.
"Sejak itu, dia berdepan kekangan meneruskan kehidupan dengan kaki palsu.
"Bagaimanapun, bermula Januari lalu, kesihatannya makin terjejas teruk apabila luka di kaki kirinya pula makin merebak dari bahagian kaki hingga betis," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rohaizad, sejak isterinya sakit, mereka sekeluarga menumpang di rumah bapa mentuanya, Mohd Yusof Dollah, 60 kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
"Kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
"Saya tidak boleh tinggalkan isteri saya untuk bekerja kerana perlu menjaganya sepenuh masa dan menguruskan keperluannya serta dua anak," katanya.
Sementara itu, Nik Saliza berkata, dia tidak mampu menguruskan diri sendiri dan hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan suami.
"Selain kencing manis kronik, doktor juga mengesahkan saya menghidap penyakit buah pinggang tahap 5 dan darah tinggi.
"Sebelum ini, saya bekerja di kedai makan dan kini saya tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya berulang alik tiga kali seminggu ke klinik dan hospital untuk mencuci luka.
"Kaki palsu saya juga sudah rosak dan bertampal sana sini. Untuk beli baharu, saya tak mampu kerana ia mencecah ribuan ringgit," katanya.
Sesiapa yang mahu memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga, boleh menyalurkannya ke akaun milik Nik Noor Saliza 03-063020353900 (Bank Islam).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!