Kampung Pakistan: Imigresen ambil tindakan

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor akan mengambil tindakan ke atas warga Pakistan di Hulu Selangor susulan laporan Wartawan Sinar Siasat semalam.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, beliau telah mengarahkan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan melakukan siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Kami sedia maklum berhubung perkara tersebut. Risikan akan dilakukan sebelum kita mengadakan operasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamad Shukri berkata, kebiasaannya warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) adalah warga Myanmar.

“Kita akan melakukan semakan terperinci dengan pihak UNCHR sama ada kad dipegang warga Pakistan itu tulen atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada warga asing itu berkahwin dengan rakyat tempatan.

“Kita akan melakukan pemeriksaan jika warga asing itu berkahwin dengan rakyat tempatan khususnya wanita dari Sabah, mereka akan bawa anak tersebut ke sini,” katanya.

Laporan Sinar Siasat semalam mendedahkan sebuah penempatan pelarian warga Pakistan dikesan wujud di Bandar Bukit Sentosa di sini sejak enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Rata-ratanya dipercayai pelarian Pakistan yang memiliki kad UNHCR dan mereka ‘berkampung’ di kawasan itu dengan membuka premis tertentu seperti sekolah dan dewan komuniti secara haram.

Berdasarkan maklumat diberikan pembaca Sinar Harian, Wartawan Sinar Siasat melakukan sendiri tinjauan di kawasan penempatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Pakistan di Hulu Selangor

Hasil tinjauan terdapat dua unit di premis perniagaan di situ dijadikan sebagai sekolah, dewan dan juga surau bagi komuniti pelarian itu dipercayai sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah melakukan siasatan dalaman berhubung isu kewujudan sekolah yang dipercayai diterajui oleh pelarian Pakistan.

Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria berkata, pihaknya telah melakukan siasatan pada minggu lalu.

“Operasi bersepadu bersama jabatan luar masih belum dijalankan dan kita akan mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam kenyataan Awaluddin sebelum ini, MDHS tidak menerima sebarang permohonan pembinaan sekolah berkenaan di premis perniagaan di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!