Falsafah untuk orang awam
BILA sebut saja perkataan falsafah, pasti ada yang berkata, "Berat! Saya tak minat. Tak relevan dalam hidup saya."
Terlalu ramai rakyat Malaysia yang menolak untuk belajar setiap perkara yang dia rasa 'tidak relevan' kepada periuk nasinya. Hidup untuk makan, bukan makan untuk hidup.
Bagi rakyat yang hidup untuk makan ini, tak hairan kalau dia tidak akan mengambil usaha serius pun untuk belajar
Bahasa Kebangsaan yang mungkin tak ada kaitan dengan dunia perniagaannya, untuk belajar baca al-Quran dan bahkan dia tidak akan belajar menjadi warganegara yang memanfaatkan negara. Dia akan selalu beri alasan dengan ayat 'tidak relevan', 'tidak praktikal', 'tidak menguntungkan'!
Saya akan jawab, "Ikan yang hidup dalam air tak perlu tau air adalah H2O!"
Bahkan seorang insan yang hidup untuk makan tak perlu pun peduli tentang mengapa perlu percaya pada Tuhan, tak perlu ambil tahu apa itu sistem ekonomi kapitalisme yang menjadi tonggak negara. Dia masih boleh berselfie kalau tidak kenal Rukun Negara!
Tetapi bila dirinya dan keluarganya tidak mampu beli susu bayi dan keadaan ini berterusan sampai bertahun-tahun lamanya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sudah tentu keraguan akan timbul dalam dirinya tentang kepimpinan negara.
Lalu terhasillah kesedaran politik dalam dirinya tentang relevannya mengubah kepimpinan negara. Kita lihat rakyat China berkorban untuk mengubah dinasti demi dinasti.
Bila Dinasti Tang tidak lagi menjaga maslahat rakyat secara umum, mereka jatuhkan Dinasti Tang untuk diganti dengan Dinasti Song.
Kemudian bila Dinasti Song pula menjadi terlalu korup, rakyat menggantikannya pula dengan Dinasti Yuan. Kemudian Yuan diganti pula dengan Dinasti Ming. Kemudian diganti pula dengan Dinasti Qing.
Pada tahun awal abad ke-20, rakyat mula sedar bahawa walaupun dinasti silih berganti, masalah yang sama berulang-ulang. Keraguan mula timbul tentang relevannya menukar sistem politik. Tidak guna kalau dinasti bertukar tangan tetapi sistem politik masih sama.
Rakyat juga mula ragu tentang sistem ekonomi yang sedia ada. Dia mula ragu tentang sistem politik dan sistem pendidikan. Keraguan mula menguasai dirinya dalam pelbagai aspek kehidupan sehinggalah dia mula meragui hatta makna kehidupan, "Apa makna hidup kalau ia sekadar sengsara?"
Ramai yang akhirnya bunuh diri bila persoalan ini tidak dijawab dan keraguan menguasai penuh dirinya. Ramai juga yang akhirnya kembali kepada agama melalui keraguan yang mendorongnya mencari jawapan dalam agama.
Gautama Siddharta, pengasas Buddhisme, mendapat jawapan kepada persoalan mengapa hidup adalah kesengsaraan bila dia meragui hakikat zon selesanya sebagai putera raja di istana.
Imam Al-Ghazali mendapat jawapan kepada persoalan bagaimana mencapai ilmu yaqin bila dia mula meragui zon selesanya sebagai profesor terulung pengajian Islam! Apa yang relevan dan tidak relevan bukan tetap. Ia berubah-ubah bila kehidupan memaksa kita untuk meragui apa yang tersedia ada.
Keraguan adalah permulaan pemikiran falsafah. Falsafah mengatur keraguan kita secara sistematik. Keraguan di sini bukan bermakna keraguan yang menghancurkan segala makna, tetapi ia adalah keraguan yang sistematik dan berniat mencapai 'sofia' iaitu hikmah. Falsafah atau philosophy berasal daripada dua perkataan 'philo' (cinta) dan 'sophia' (hikmah) iaitu cintakan hikmah.Falsafah ialah bidang ilmu yang bermula dengan menguruskan keraguan secara sistematik dengan tujuan mencapai sofia atau hikmah. Keraguanlah yang memotivasikan kita untuk mencari-cari punca masalah sampai ke akar. Daripada menukar dinasti kepada menukar sistem politik.
China akhirnya menukar sistem dinasti kepada sistem republik, ajaran konfusianisme kepada ajaran sosialis. Tanah Melayu juga menukar sistem monarki mutlak kepada sistem raja berperlembagaan yang berlandaskan demokrasi liberal. Penukaran sistem politik ini tidak akan berjaya kalau tiada falsafah Karl Marx dan John Locke.
Bahkan Malaysia sendiri sebagai sebuah negara tidak akan wujud pun sama sekali tanpa falsafah yang baharu iaitu nasionalisme!
Adakah anda setuju dengan falsafah nasionalisme? Belajarlah falsafah!
Tidak guna kalau dinasti bertukar tangan tetapi sistem politik masih sama."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!