Lupakan hal logo, masa untuk fokus pengisian TMM2020
MINGGU lalu, buat kali kedua, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).Seingat Merak Jalanan, logo pertama yang dilancar Januari tahun lalu dikecam hebat netizen kerana didakwa terlalu ringkas dan tak ubah macam karya budak sekolah.
Kali ini, logo yang dihasilkan mengambil inspirasi ‘rakan’ Merak Jalanan iaitu burung kenyalang. Tapi netizen turut mengkritik logo tersebut kononnya idea burung itu diciplak daripada sebuah laman web grafik.
Menteri MOTAC, Datuk Mohamaddin Ketapi jenuh jugalah menepis kritikan-kritikan itu.
Bagi Merak Jalanan, dengan TMM2020 hanya membilang hari, cuma berbaki lima bulan lagi, sekarang bukanlah lagi masa sesuai untuk MOTAC berkisah-kisah mengenai logo.
Bahkan, Merak Jalanan berpendapat sebenarnya MOTAC patut melancarkan logo ini jauh lebih awal. Walaupun ini merupakan logo kedua, ia sepatutnya sudah dilancar tahun lepas lagi.
Ini kerana bagi Merak Jalanan, ketika ini bukan waktu kita membicara lagi mengenai logo; logo simple, logo tak original atau logo tak gambarkan Malaysia.
Waktu ini, kita seharusnya bercerita apa pengisiannya.
MOTAC sepatutnya membuat pelancaran senarai acara-acara menarik sepanjang TMM2020, bahkan sudah menyertai pelbagai pameran pelancongan di luar negara untuk membuat promosi.
Pelancong luar negara mahu tahu pulau mana paling cantik, hotel atau resort mana bertaraf dunia atau homestay yang menawarkan suasana kampung sebenar di Malaysia.
Bisik seorang rakan Merak Jalanan, “Cuba Merak Jalanan fikir, kalau orang nak bercuti mesti kena rancang awal. Beli tiket pun mahu lebih setahun awal.”
Jadi pada waktu ini kita seharusnyalah sudah giat membuat persediaan awal menguar-uarkan pengisian TMM2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!