Filem dan masakan kegemaran Agong

No Image Caption
A
A
A

[VIDEO] AL-SULTAN Abdullah akui bukanlah seorang yang romantik tetapi Seri Paduka Baginda ada cara tersendiri untuk tunjukkan kasih sayang sebagai seorang suami dan ayah.

Bak kata Seri Paduka Baginda, “Romantik saya ini bertempat, tidak bermakna saya tidak romantik langsung. Bila bercakap tentang kasih sayang, saya dengan cara saya sendiri, mungkin anda lain saya lain. Banyak perkara yang hendak saya fikir dan uruskan, jadi tidak sentiasa hendak fikir romantik sahaja.”

Seri Paduka Baginda turut ditanya mengenai makanan kegemaran dan memberitahu sangat menggemari masakan ikan dan sotong, masak taucu, gulai tempoyak patin, ayam masak kicap, ayam serta ikan bawal golek.

“Kalau makanan barat saya suka burger dan Kentucky (Kentucky Fried Chicken). Saya minum air putih dan tidak suka minuman bergas, tidak berapa minum sirap. Saya cuba kurangkan manis, saya nasihatkan kita semua perlu kurangkan manis,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu wawancara khas di Istana Negara baru-baru ini.

Al-Sultan Abdullah bertuah kerana Raja Permaisuri Agong seorang yang sangat pandai memasak pelbagai jenis makanan malah mampu menyediakan hidangan dengan cepat.

“Raja Permaisuri memang pandai masak, apa sahaja masakan dia tahu. Dia sangat arif tentang masakan dan makanan, kalau makan itu rasa tidak sedap, dia kata ini kurang garam dan sebagainya.

“Raja Permaisuri juga boleh masak sesuatu makanan dengan cepat. Kalau orang lain yang terpaksa menunggu mungkin naik darah kalau masakan lambat siap. Tapi saya tidak perlu tunggu lama,” titah Yang di-Pertuan Agong sambil memberitahu sering menonton rancangan memasak di televisyen dan berasa cemburu dengan kebolehan tukang masak menyediakan makanan.

“Itu bidang yang saya menyesal tidak ceburi tetapi saya perlu nyatakan kalau dalam bulan puasa saya selalu tengok rancangan memasak. Memang saya cuba hendak mula memasak tapi tidak sampai lagi.

Artikel Berkaitan:

“Minat memang ada dan suka tengok rancangan (memasak). Saya juga selalu tengok cara Tunku Azizah masak dan saya rasa cemburu tengok cara dia memasak,” titahnya yang menggemari makan nasi dengan durian berbanding menikmati raja buah itu begitu sahaja.

Seri Paduka Baginda ketika ditanya mengenai filem kegemaran mendedahkan bahawa filem Hindi dan cerita bertemakan peperangan sangat menjadi pilihan.

“Saya gemar tonton filem Hindustan seperti Sangam yang saya sudah tonton sehingga lima kali, Kuch Kuch Hota Hai sudah empat kali tengok.

“Zaman dulu saya tengok cerita Combat dan kemudian macam-macam filem, Ironman juga saya tonton, Avengers tidak berapa sangat kerana terlalu fiksyen. Paskal saya tengok dan saya kagum dengan pengarahnya,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai buku kegemaran, Al-Sultan Abdullah memberitahu gemar membaca kisah personaliti, ekonomi dan politik namun pada ketika ini Seri Paduka Baginda meluangkan banyak masa meneliti Kertas Kabinet.

“Saya banyak membaca berkaitan personaliti dan ekonomi, berkaitan politik sesekali. Saya akan membaca mengikut judul buku dan siapa penulisnya.

“Saya membaca pada waktu tengah hari dan petang kalau tidak ke gimnasium. Sekarang, buku terbaru dan yang mesti saya baca Kertas Kabinet.

“Pada malam Selasa saya akan habis membaca, Rabu sebelah pagi saya akan jumpa Perdana Menteri (PM) dan sudah 19 kali saya jumpa berjumpa PM. Kalau ada sesi Parlimen, saya akan jumpa beliau pada hari Jumaat,” titah Seri Paduka Baginda mengakhiri pertemuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!