Piagam UMNO-Pas tidak bincang kerusi

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO menafikan laporan sebuah portal bahawa parti itu akan menyerahkan kerusi-kerusi tradisinya kepada Pas apabila menandatangani Piagam Kerjasama UMNO-Pas, September ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perbincangan ke arah itu tidak berlaku susulan UMNO-Pas berpandangan perkara itu tindakan pramatang jika dibincangkan sekarang.

"Portal itu telah membuat satu penipuan atau kenyataan tidak tepat bahawa penyatuan ummah antara UMNO-Pas akan menyebabkan UMNO memberikan kerusi-kerusi tradisinya kepada Pas.

"Kononnya bagi mencapai keseimbangan pembahagian kerusi 50-50. Dalam Piagam Kerjasama UMNO-Pas, tidak wujud perbincangan atau sebarang penetapan kerusi.

"Kedua-dua parti merasakan adalah pramatang untuk perkara seperti pembahagian kerusi dibincangkan sekarang. Saya amat kesal dengan tindakan portal yang terlalu berpolitik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, UMNO dan Pas memuktamadkan kerjasama melalui piagam dan memorandum persefahaman yang akan dimetrai 14 September ini.

Tegasnya, fokus piagam itu adalah memperkemaskan tata kelola bagi menjayakan kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Malah keutamaan UMNO-Pas kini adalah menjadi suara dan pembela kepada orang Melayu Islam serta mencari jalan ke hadapan yang terbaik untuk Malaysia secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Ini perkara yang dilihat tidak diberikan perhatian oleh kerajaan sekarang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sebarang usaha mensabotaj kerjasama UMNO-Pas oleh pihak lawan mahupun pengamal media yang suka menangguk di air keruh ini tidak akan melarikan fokus semua pihak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!