Tidak lupa amanat Tuanku

Kejayaan 21 pendaki mengibarkan Jalur Gemilang dan gegantung yang ditandatangani Al-Sultan Abdullah di puncak Gunung Syue, Taiwan 23 Jun lalu.
Kejayaan 21 pendaki mengibarkan Jalur Gemilang dan gegantung yang ditandatangani Al-Sultan Abdullah di puncak Gunung Syue, Taiwan 23 Jun lalu.
A
A
A

KEBERANGKATAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli bagi acara pelepasan lima program pendakian gunung media Pahang baru-baru ini amat menggembirakan pengamal media negeri itu.

Lima gunung tersebut melibatkan Gunung Syue di Taiwan, Gunung Kerinci di Indonesia, Annapurna Base Camp Nepal, Gunung Pulag di Filipina dan Gunung Fansipan di Vietnam.

Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin gembira kerana Al-Sultan Abdullah sentiasa mengambil peduli pengamal media Pahang sejak dahulu lagi.

“Seri Paduka Baginda sangat mesra dengan kami. Penyertaan Kelab Media Pahang dalam aktiviti sukan lasak mendaki gunung ini bermula sejak 2014 dengan gunung pertama ditakluki ialah Fansipan di Vietnam.

“Idea pendakian dicetuskan ketua ekspedisi Fazli Ahmad dengan sokongan rakan-rakan media yang amat komited. Tanpa sumbangan dan peranan aktif mereka serta limpah kurnia dan perkenan Tuanku pasti sukar program ini berkembang dan terus melangkah hingga ke persada antarabangsa,” katanya.

Pendakian pertama di Gunung Fansipan itu melakar sejarah apabila Al-Sultan Abdullah ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang dan Tunku Azizah mencemar duli menyempurnakan pelepasan seramai 25 pengamal media Pahang dan wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang.

Berkat sokongan Al-Sultan Abdullah para peserta berjaya menawan puncak yang ketinggian lebih 3,000 meter walaupun berdepan situasi dilanda ribut dan tanah runtuh.

“Selepas pendakian kami menyempurnakan amanah Tuanku dengan menyampaikan sumbangan berupa Yasin, al-Quran, sejadah dan telekung di Masjid Al-Nor Hanoi.

Artikel Berkaitan:

“Gunung seterusnya ialah Gunung Kerinci di Sumatera iaitu hampir 4,000 meter tinggi dan kami turut menyampaikan sumbangan Tuanku iaitu keperluan kepada 106 anak yatim mangsa gempa bumi di Palembang Indonesia iaitu tikar, bantal, tilam, al-Quran dan sejumlah wang kepada mereka,” katanya.

Kata Fazli, peranan kecil pasukan pendaki dalam membawa kurniaan raja berjiwa rakyat tidak berhenti di situ sahaja sebaliknya terus dilakukan selepas mendaki Gunung Pulag di Filipina.

“Kami singgah di sebuah masjid di Filipina untuk sampaikan sumbangan kewangan. Malah, kami juga mencatat sejarah negara apabila menjadi kumpulan pendaki teramai iaitu 62 peserta yang berjaya tiba di puncak Annapurna Base Camp di Nepal.

"Segala amanat dan pesanan Al-Sultan Abdullah untuk menjaga dan menjunjung nama baik negara sentiasa disematkan dalam hati di setiap pendakian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!