'Runner' dadah masuk jerat polis

Polis menemui puluhan paket dadah dengan tertangkapnya dua lelaki di Taman Serdang Perdana, Serdang, Sabtu lalu.
Polis menemui puluhan paket dadah dengan tertangkapnya dua lelaki di Taman Serdang Perdana, Serdang, Sabtu lalu.
A
A
A

SERDANG - Kegiatan dua sekawan yang dipercayai mengambil upah sebagai 'runner' untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang akhirnya memakan diri apabila dicekup dalam operasi di Taman Serdang Perdana, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bertindak menahan sebuah kereta jenis Volkswagen kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 25 dan 37 tahun telah ditahan.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menjumpai tiga paket plastik lut sinar disyaki dadah ketamin (57.9 gram) serta 22 paket plastik disyaki serbuk dadah jenis ekstasi seberat 0.65 kilogram.

"Dianggarkan dadah ini bernilai RM9,000 dan dipercayai akan dibekalkan di pusat hiburan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sundralingam berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan mengambil upah sebagai penghantar dadah kepada individu tertentu dengan upah RM300 hingga RM500 oleh ahli sindiket.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terlibat.

"Suspek kini sedang direman selama tujuh hari sehingga Sabtu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!