Pemimpin negara merafak sembah ucapan tahniah
SHAH ALAM - Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.
Laman sosial hari ini dipenuhi dengan merafak sembah ucapan tahniah kepada Al- Sultan Abdullah yang begitu dikenali sebagai Raja yang berjiwa rakyat itu.
Tidak terkecuali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut merafak sembah ucapan tahniah.
“Merafak sembah setinggi tahniah KDYMM SPB YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI.
“Semoga pemerintahan Tuanku diberikan rahmat dan keberkatan oleh ALLAH SWT,” katanya menerusi catatan di Twitter beliau.
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob juga turut merafak sembah ucapan tahniah.
“Patik merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah,” tulisnya di Twitter.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam catatan di Twitter miliknya berkata, hari ini seluruh rakyat Malaysia amat berbahagia dengan pertabalan Al- Sultan Abdullah.
“Sesungguhnya budi pekerti dan kebijaksanaan Tuanku amat disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!