Saya kekal tenang walau diserang, kata Azmin

- Foto Sharifudin Abdul Rahim
- Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa beliau tetap tenang walaupun menerima beberapa serangan terbuka sepanjang proses pemilihan parti itu.

Mengulas mengenai pemilihan parti baru-baru ini, Mohamed Azmin berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berpesan kepadanya untuk kekal tenang bagi menghadapi segala serangan yang dilemparkan tersebut.

“Malah pernah juga dalam pemilihan terdahulu sewaktu saya ingin mencabar bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Anwar minta saya untuk tarik diri.

“Maka saya akur dengan keputusan itu kerana setia kepada Anwar dan hormat kepada Syed Ali berikutan beliau adalah orang lama parti.

“Kalau kami boleh tenang, boleh berdakap, bersalaman, maka ayuhlah anggota parti. Kita rapatkan saf dan pertahankan perpaduan ini,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan sewaktu Kongres Nasional PKR kali ke-13 hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa PKR perlu membuktikan bahawa parti ini dapat menguruskan sistem demokrasi dengan baik walaupun prosesnya agak meletihkan.

Beliau berkata, setiap pihak perlu mengamalkan budaya politik matang bagi memastikan segala permasalahan dan isu dapat ditangani dengan baik di semua peringkat.

“Ramai yang mengadu-domba tapi tak mengapa kerana proses demokrasi ini memang riuh seperti yang berlaku (dalam pemilihan) di Sungai Petani, Gombak, Pandan, Pensiangan dan sebagainya.

“Jangan kita gundah-gelana macam nak perang kerana jika ada pemimpin yang matang, semua masalah dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Azmin memaklumkan bahawa PKR mempunyai masa depan yang cerah berikutan parti ini ditunjangi oleh barisan kepimpinan yang kuat.

Tambah beliau, pihaknya juga yakin PKR akan dapat meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi mengangkat martabat anggota di peringkat cabang dan negeri itu.

“Jaga dan santuni mereka. Sarawak bakal jalani ujian besar dan ayuh kita berkampung di sana mulai awal tahun depan bagi memastikan kemenangan di negeri itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!