Jawatan PM bukan semudah pakai kasut: Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas tegas dengan pendirian mahu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perkara itu perlu dilakukan kerana jawatan Perdana Menteri bukan semudah seperti memakai kasut yang boleh ditukar dalam tempoh singkat.

"Rasionalnya, mesti masa yang cukup. Jangan tergesa-gesa, apa lagi janji Pakatan Harapan (PH) belum ditunaikan. Belum tunai, takkan hendak tukar di tengah jalan. Belum tunai janji apa apa.

"Jadi Perdana Menteri ni bukan macam pakai kasut, tukar sekejap-sekejap. Biar betul-betul stabil dan beliau ada pengalaman jadi Perdana Menteri yang paling lama. Ada peranan masa dia memerintah dahulu kita boleh ambil pengalaman daripada dia. Apa lagi dalam usianya itu, kita perlu beri peluang kepada dia," katanya ditemui media di Rusila, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan maksud Azmin tak sokong Anwar jadi PM: Johari

Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir perlu diberi peluang selagi mampu melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri selain turut berpandangan Dr Mahathir sebagai pemimpin paling menonjol dalam PH.

"Saya rasa dia (Dr Mahathir) yang lebih menonjol dalam PH dan kita kena sedar parti Melayu dalam PH hanya parti Bersatu, parti lain bukan parti Melayu. Macam saya sebut (sebelum ini), parti PKR (Parti Keadilan Rakyat) bukan parti Melayu, PAN (Amanah) ini parti cabang DAP, bukan parti Melayu.

"Sebab itu kita beri ke (pada) parti Bersatu, namun ia masih terpulang kepada pemimpin itu untuk membuat keputusan bagi dirinya," kata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Abdul Hadi menafikan pendiriannya itu senada dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mahu Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

"Dia (Azmin) lain, saya lain. Dia parti lain, saya parti lain. Saranan saya (dibuat) pada awal-awal dahulu (dan) tidak berubah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!