Pakar ASEAN uji SOP bencana alam
KUALA LUMPUR - Sekumpulan pakar pengurusan bencana alam dan bantuan kemanusiaan negara ASEAN, sedang menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bersepadu serta boleh digunakan secara bersama.
Panglima Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata, SOP dalam menguruskan bencana alam dan bantuan kemanusiaan itu, akan melibatkan penambahbaikan input dan pendapat pakar, dari delegasi 18 negara ASEAN.
“Kami sudah sediakan SOP itu bersama Amerika Syarikat (AS) dan kini hendak menguji keberkesanannya dengan mengumpulkan kumpulan pakar dari rantau ASEAN, berkongsi pandangan masing-masing bagi menambah baik SOP itu.
"Apabila SOP itu selesai dibincang dan ditambah baik oleh pakar, ia akan diguna pakai negara ASEAN dalam menguruskan bencana alam,” katanya selepas merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-Plus Kumpulan Pakar Kerja Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam 2019 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Eksesais tiga hari itu disertai Ketua Delegasi daripada 18 negara termasuk AS, Australia dan India, serta kira-kira 100 peserta yang mewakili agensi ketenteraan, kemanusiaan dan perubatan dari negara ASEAN.
Menurutnya, Indonesia dan Filipina kerap dilanda bencana alam, sekali gus memaksa anggota penyelamat serta pakar untuk menggunakan kaedah lebih berkesan, bagi menangani ancaman yang datang.
"Tiada negara terkecuali daripada menghadapi bencana alam...penting untuk kita bersiap sedia dan mengatur gerak pasuka,n bagi menyokong usaha multinasional dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan, serta menguruskan bencana alam secara berkesan,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!