8 Pusat Hemodialisis Mawar kembali beroperasi

Tian Hock (tiga dari kiri) melawat pusat hemodialisis selepas selesai pertemuan dengan wakil 11 cawangannya di Seremban hari ini.
Tian Hock (tiga dari kiri) melawat pusat hemodialisis selepas selesai pertemuan dengan wakil 11 cawangannya di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Lapan daripada 11 cawangan pusat hemodialisis milik Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) yang diambil alih oleh Pusat Perubatan NSCMH telah mendapat lesen untuk meneruskan perkhidmatannya.

Pengerusi Pusat Perubatan NSCMH, Datuk Lee Tian Hock berkata, lapan cawangan itu mendapat lesen masing-masing minggu lalu melibatkan cawangan di Bahau, Kuala Pilah, Lukut, Mantin, Rantau di Negeri Sembilan; Sepang dan Seri Kembangan di Selangor serta Seputeh, Kuala Lumpur.

"Tiga lagi cawangan iaitu di Gemas, Negeri Sembilan; Yong Peng, Johor dan Tawau, Sabah, dalam proses mendapatkan lesen dan dijangka diperoleh minggu ini.

"Tiada lagi isu berhubung pusat hemodialisis ditutup ekoran masalah lesen dan ia memberikan kelegaan kepada 356 pesakit," katanya pada sidang media di Pusat Perubatan NSCMH di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tian Hock berharap kemudahan bersubsidi yang disediakan pihaknya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM200,000 setiap bulan agar pesakit mendapat rawatan yang baik.

"Secara keseluruhan kami ada 138 mesin hemodialisis dan yakin ia cukup untuk kegunaan pesakit. Kita akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Jun lalu, Pusat Perubatan NSCMH mengambil alih 11 cawangan PHM bagi memastikan semua pusat hemodialisis itu dapat beroperasi dengan baik selepas lesen ditarik secara berperingkat mulai tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

PHM dan Pusat Perubatan NSCMH adalah pusat perubatan yang mendapat lesen menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kementerian Kesihatan membatalkan lesen dan menutup operasi Pusat Perubatan Mawar (PPM) yang menjadi subsidiari kepada PHM selepas didapati melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Bagaimanapun, penutupan PPM tidak melibatkan cawangan pusat hemodialisis yang dilesenkan menerusi PHM.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Medical Centre ditutup

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!