Dr Maza kongsi tips penggunaan bahasa
PUTRAJAYA - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tips mengenai penggunaan bahasa tepat pada keadaan dan sasaran.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Mohd Asri berkata, kepuitisan bahasa mempunyai pengaruh yang tersendiri.
Mengambil contoh al-Quran yang mempunyai bahasa cukup indah dan tepat untuk mengkaji dan memahami.
"Apa yang pasti, bahasa al-Quran tepat pada kaedaan dan sasaran," katanya.
Menurutnya, 'permainan' bahasa itu sangat penting namun hendaklah tepat mengenai sasaran.
"Justeru itulah Arab panggil balaghah kerana ia benar-benar sampai kepada sasaran maksud," katanya.
Beliau berkata, tujuan keindahan bahasa supaya berkesan secara mendalam di jiwa yang menjadi sasaran ungkapan.
"Kadang-kala bahasa yang ringkas lebih berkesan dibandingkan yang panjang.
Mungkin juga bahasa yang agak tegas atau formal lebih berkesan dari yang berbunga-bunga," katanya.
Mohd Asri berkata, perkara itu bergantung kepada konteks, diri yang mengungkap dan pihak yang ditujukan ungkapan.
"Maka, elakkanlah bahasa yang salah tempatnya dan tempat yang salah bahasanya.
"Semak diri kita yang mengucapkan dan diri yang disasar ungkapan kepadanya.
Kenali juga konteks semasa ungkapan itu diluahkan. Inilah yang kita semua wajar lakukan," katanya.
Semalam warkah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof kepada bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjadi tular di laman sosial apabila Mujahid membahaskan dirinya sebagai kanda manakala adinda bagi Nurul Izzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!