Polis gempur pangsapuri, tahan PATI
AMPANG JAYA - Polis menggempur Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang, di sini, dalam usaha membanteras lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Bersepadu Cegah Jenayah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 8 malam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Menurutnya, pemeriksaan telah dijalankan terhadap seramai 111 orang dan hasilnya, 56 orang PATI termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan.
"Semakan mendapati PATI tersebut terdiri daripada 46 warga Bangladesh, Pakistan (5), Nepal (4) dan Indonesia (1).
"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa yang akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 15(4) Akta Imigresen," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati rata-rata PATI terbabit telah berada di dalam negara sejak tiga hingga empat lalu.
Katanya, selain itu, pihak MPAJ turut mengenakan tindakan sitaan serta kompaun di beberapa buah premis kedai mengikut undang-undang kecil pelesenan hasil pemeriksaan ke atas kira-kira 30 buah premis di sekitar pangsapuri.
"Operasi ini akan diteruskan daripada semasa ke semasa dalam usaha kita membanteras kesalahan jenayah serta lambakan PATI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!