KPDNHEP Pulau Pinang rampas gula-gula Ghost Smoke
BUKIT MERTAJAM- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 14 peket gula-gula Ghost Smoke dalam pemeriksaan yang dilakukan di sebuah kedai runcit di Bukit Tengah di sini semalam.
Ketua Bahagian Penguatkuasa, Chin Ching Chung berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan jam 10 pagi itu kesemua produk yang disita disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan meragukan.
Menurutnya, selain merampas produk berkenaan pihaknya juga merampas dokumen berkaitan seperti invois belian telah disita untuk tujuan siasatan.
"Semua produk yang disita disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan meragukan.
"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pembekal produk tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Chin Chung berkata, sejak 23 Julai sehingga kini, KPDNHEP Pulau Pinang telah mencatatkan 59 pemeriksaan premis untuk produk Ghost Smoke Cool Fruit Powder.
Katanya, pemeriksaan dijalankan di semua peringkat antaranya pemborong, peruncit dan termasuk penjaja di sekitar kawasan sekolah di seluruh negeri ini.
"Pihak KPDNHEP akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa berhubung perkara ini dan meminta orang ramai memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dengan penjualan Ghost Smoke Cool Fruit Powder di sekitar kawasan kediaman mereka.
"Golongan peniaga juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dengan tidak menjual barangan yang tidak sepatutnya termasuk perihal dagangan palsu dan meragukan," katanya.
Ching Chung berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabit kesalahan, peniaga terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan.
Sebaliknya, bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Gula-gula itu mula tular dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya ibu bapa yang khuatir dengan soal keselamatan gula-gula itu yang menghasilkan kesan asap seumpama vape apabila ia dimakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!