21 nelayan tempatan ditahan ceroboh perairan
MUAR - Enam vesel pukat tunda bersama 21 nelayan yang menangkap ikan tanpa lesen ditahan di sekitar perairan Parit Jawa, semalam.
Ketua Cawangan Perlindungan Sumber Pejabat Perikanan Johor, Yusni Mohd Yusoh berkata, kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 8(b) Bukan Usaha Sendiri (BUS) ialah nelayan tempatan berusia antara 20-an hingga 60-an.
“Nelayan ini dikesan sedang membawa vesel milik individu lain.
"Ketika operasi kira-kira jam 1 pagi itu, kesemua vesel ini juga melanggar Seksyen 8(b), beroperasi menunda ikan di luar kawasan yang dibenarkan melebihi garis lintang bagi vesel pukat tunda,” katanya kepada pemberita hari ini.
Yusni berkata, kesemua vesel pukat tunda zon B itu dikesan berpangkalan di Pontian, Rengit dan Parit Botak.
“Pada operasi berkenaan, keenam-enam vesel ini ditahan di lokasi berasingan dalam perairan Parit Jawa iaitu Parit Rabu, Parit Sakai, Tanjung Tohor dan Parit Unas.
“Tiga daripada vesel dikesan melanggar Seksyen 8(b), beroperasi menunda ikan pada waktu yang dibenarkan 6 pagi hingga 7 petang pada 5 hingga 12 batu nautika dari garis pantai,” katanya.
Katanya, individu yang ditahan juga diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Perlindungan Sumber Batu Pahat bagi menjalankan siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!