GPS lapor polis dakwa penutupan Lekas susahkan pengguna
SEMENYIH - Pertubuhan Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih membuat laporan polis terhadap pengurusan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) kerana menutup keseluruhan laluan kepada orang ramai pada 28 Julai lalu bagi penganjuran program kayuhan basikal Lekas Highway Ride 2019.
Ahli Jawatankuasa GPS, Ahmad Asmadi Adnan berkata, penutupan tersebut disifatkan tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan masalah kepada pengguna lebuh raya berkenaan.
"Kami berpendapat konsesi lebuh raya yang diberikan lesen perlu mengutamakan matlamat asalnya iaitu laluan kegunaan kenderaan bermotor bertol dan bukannya bagi tujuan lain.
"Biarpun penganjuran Lekas Highway Ride 2019 sehari, namun lebuh raya itu ditutup dari jam 4 petang sehingga 4 pagi menyukarkan ribuan pengguna jalan raya yang terperangkap melebihi empat jam di kebanyakan jalan di Semenyih, Beranang, Kajang, Bangi, Pajam, Nilai, Broga, Seremban dan jalan sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Sementara itu, ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, pengurusan Lekas perlu sedar tanggungjawab utama mereka untuk memastikan pengguna lebuh raya dapat bergerak tanpa halangan sepanjang masa.
"Jika lebuh raya perlu ditutup dengan alasan yang kukuh, maka pengurusan lebuh raya perlu memastikan hebahan penutupan dilakukan secara menyeluruh.
"Mengambil contoh penganjuran Le Tour de Langkawi, penganjuran program berbasikal bertaraf dunia itu tidak pula menutup lebuh raya pada tempoh yang panjang," katanya.
Sehubungan itu katanya, perkara tersebut perlu diambil serius oleh pihak berwajib.
"Insya-ALLAH saya akan bawa perkara ini ketengah dan juga ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Apa yang saya harapkan adalah pihak konsesi lebih peka terhadap isu yang mana bukan sahaja melibatkan pengguna lebuh raya malah penduduk setempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!