'Flyover Datuk Ikmal' di Tanah Merah siap Ogos
TANAH MERAH - Persimpangan bertingkat di bandar ini yang diilhamkan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sehingga diberi jolokan 'Flyover Datuk Ikmal' dijangka siap Ogos ini.
Projek menggunakan inovasi 'hollowbox' seperti persimpangan bertingkat di Putrajaya itu adalah yang pertama di Kelantan dan pembinaannya lebih cepat serta tidak mengganggu kelancaran lalu lintas.
Pengarah Urusan After Image Sdn Bhd, Wan Rakemi Wan Zahari berkata, pembinaan persimpangan bertingkat itu juga tidak memerlukan cerucuk dan tidak menggunakan pasir atau tanah.
"Ia menggunakan sistem asas rakit dan kaedah pembinaan yang lebih sistematik.
"Sistem laluan dua aras bagi laluan lintasan rel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan laluan bawah (at-grade) dikekalkan walaupun laluan atas (elevated) telah dibuka," katanya pada sidang media di sini.
Wan Rakemi berkata, pelaksanaan projek itu bakal memberi kemudahan kepada pengguna kerana turut mengurangkan kesesakan lalu lintas.
"Ia juga dapat membangunkan bandar Tanah Merah di samping pelbagai lagi projek pembinaan yang sedang berlangsung termasuk bangunan tambahan projek Hospital Tanah Merah (HTM) dan pembinaan sekolah berasrama penuh.
"Kita harap dengan adanya persimpangan bertingkat ini juga dapat menambah peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar negeri ini terutama di daerah berdekatan seperti Pasir Mas, Jeli, Machang dan Tanah Merah sendiri dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata, setakat ini projek berkenaan sudah pun siap hampir 95 peratus.
Projek yang melibatkan kos RM153 juta itu dibina sejauh 1.1km melintasi bandar Tanah Merah termasuk lintasan kereta api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!