Jadi pilihan kerana berita komuniti

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Menyiarkan kisah komuniti orang pantai timur antara rahsia kejayaan Sinar Harian ketika pertama kali diterbitkan 13 tahun lalu.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, ketika itu Sinar Harian merupakan satu-satunya akhbar yang diterbitkan khusus untuk orang pantai timur.

“Sinar Harian bermula di Kelantan dan mencipta sejarah apabila semua akhbar ini habis di pasaran pada hari pertama dijual. Selain harganya yang murah iaitu 50 sen, orang Kelantan merasakan Sinar Harian sebagai akhbar mereka.

“Sebab itu dengan hanya beberapa keluaran kita berjaya mendahului akhbar-akhbar lain. Melihat sambutan menggalakkan, Sinar Harian telah melebarkan jajahan ke Terengganu dan Pahang,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian itu berkata, selepas menakluki tiga negeri di pantai timur, Sinar Harian semakin agresif meluaskan pengaruhnya ke seluruh Semenanjung Malaysia sehingga mampu bersaing sebagai surat khabar arus perdana.

Menurutnya, tidak ada mana-mana surat khabar tempatan yang mengkhususkan penerbitannya kepada berita serta cerita daerah dan beliau tidak menolak itu antara faktor penyumbang kejayaan Sinar Harian yang lahir sebagai sebuah akhbar pertama memainkan cerita komuniti.

“Selain itu, Sinar Harian merupakan surat khabar yang tidak dimiliki mana-mana pertubuhan politik atau NGO. Sebab itulah Sinar Harian mampu kekal neutral, tidak berpihak dan menjadi akhbar yang betul-betul bertunjangkan kewartawanan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas 10 tahun beroperasi Sinar Harian juga tidak terlepas daripada tempias fenomena global yang menyaksikan pembaca mula beralih kepada media dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Media cetak semakin kurang menjadi pilihan pembaca kerana mereka sudah beralih daripada membaca surat khabar kepada melihat surat khabar menerusi gajet.

“Malah, banyak surat khabar terkemuka dunia ditutup atau mengalami penurunan edaran. Ini satu realiti yang amat pedih,” katanya.

Abd Jalil berkata, Sinar Harian berusaha melakukan beberapa perubahan supaya akhbar ini terus relevan di sebalik industri media cetak yang semakin suram.

“Jika sesebuah surat khabar itu menyiarkan berita dan bahan bacaan yang bermutu dan menepati kehendak pembaca, ia akan terus relevan. Di situlah sebenarnya cabaran Sinar Harian untuk mengekalkan kualiti itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!