Nasihat yang amat berharga, Tuanku!

A
A
A

AWANG seperti juga jutaan rakyat negara ini menjunjung kasih dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memang sudah lama bersama rakyat khususnya dalam sukan bola sepak.

Bagi Awang, apa yang penting ialah nasihat Seri Paduka Baginda. Al-Sultan Abdullah tidak mahu melihat rakyat ‘bercelaru dan berpecah dalam sebuah kapal yang sedang menuju kejayaan’.

Yang di-Pertuan Agong juga menasihatkan rakyat agar jangan mudah melatah dan cuba memecahkan perpaduan.

Seri Paduka Baginda juga bertitah agar kita hormati dan jangan pandang rendah agama lain. Baginda juga minta kita hormati komuniti lain.

Awang hargai nasihat Tuanku itu. Awang rasa, banyak rakyat negara ini yang mahukan Malaysia yang aman dan sejahtera. Awang rasa, tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa hanya dengan bersatu padu dan bermuhibah kita akan menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.

Sedihnya banyak pula anasir yang guna bangsa dan agama untuk kepentingan politik mereka. Mereka akan buat apa sahaja untuk jadi hero kaum mereka. Dengan cara itu mereka akan jadi popular.

Politik menggunakan bangsa dan agama dengan cara sempit dan penuh perkauman ini amat berbahaya. Ada parti politik yang menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam kononnya negara terancam oleh kaum lain.

Artikel Berkaitan:

Mereka guna faham perkauman sempit untuk raih undi. Kita semua tahu bagaimana api perkauman dan agama disemarakkan akhir-akhir ini.

Awang harap orang politik ambil perhatian nasihat Seri Paduka Baginda Tuanku. Janganlah kerana nak menang, kita sanggup gadai keharmonian negara kita.

Apabila orang tak hormati lampu isyarat

Pengguna jalan raya kita semakin biadab. Tak hormati langsung lampu isyarat. Berdirilah di mana-mana persimpangan jalan di bandar-bandar utama kita, terumanya di Wilayah Persekutuan, kita dapat lihat betapa teruknya sikap pengguna jalan raya.

Lampu isyarat cuma jadi lampu isyarat, tiada siapa yang ambil peduli. Kita boleh lihat motosikal langgar lampu isyarat sewenang-wenangnya. Macam jalan mereka yang empunya. Pemandu kereta pun sama juga. Selagi boleh dipecut walaupun lampu bertukar merah, pecutlah!

Awang tak dapat bayangkan bahayanya perbuatan semacam itu. Bukan sahaja pada orang yang melanggar lampu isyarat itu tapi pada pengguna jalan raya yang lain. Wabak tak hormat lampu isyarat semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Awang cuma nak ingatkan Malaysia mencatatkan kadar ketiga tertinggi di dunia dari segi kematian di jalan raya berbanding jumlah penduduk.

Setiap hari secara purata 19 rakyat kita terkorban di jalan raya. Sebahagian besar kes kemalangan maut membabitkan motosikal.

Jumlah kenderaan berdaftar di atas jalan raya kita sekarang dah lebih 27 juta, kurang sedikit sahaja daripada jumlah rakyat negara ini. Kenderaan makin bertambah.

Tapi kalau adab memandu tidak baik, semakin banyak mangsa mati di jalan raya.

Awang cadangkan Tuk Seri Hamid Bador arahkan pegawai tinggi bahagian trafik supaya berdiri di tempat lampu isyarat di KL selama beberapa hari. Jangan buat apa-apa, perhatikan tabiat pemandu kita.

Perhatikan juga berapa ramai pengguna jalan raya yang hormati laluan pejalan kaki. Ada kalanya walaupun lampu isyarat pejalan kaki dah hijau, tapi ada kenderaan yang tak peduli.

Kita ada undang-undang, orang tak hormat sebab penguatkuasaan tak berkesan. Kalau di republik Singapura, tak ikut laluan pejalan kaki pun kena saman. Kalau langgar lampu merah, lagilah berat hukumannya.

Macam buang sampah juga, siapa berani buang sampah merata-rata di Singapura? Tapi di Malaysia, jalan raya pun jadi tong sampah.

Salah siapa?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!