Tak sanggup jual lembu sado walau ditawar RM22,000
PASIR PUTEH - Walaupun ditawarkan harga RM22,000 untuk seekor lembu pejantan limousin, seorang penternak dari Wakaf Zin, Bachok tidak berhasrat menjualnya.
Abdul Rahim Salleh, 74, berkata, lembu jantan berusia 3 tahun itu dijaga dengan baik sejak berusia 6 bulan.
Menurutnya, dia membelinya daripada rakan di Kampung Rekang dengan harga RM7,000.
"Lembu saya ni dah kerap kali dipamerkan dalam karnival di seluruh Kelantan dan kerap kali juga menang hadiah utama.
"Setakat ini saya tidak berhasrat untuk menjualnya, jika saya setuju menjualnya nanti harganya mestilah yang 'selesa' bagi saya iaitu tidak kurang RM25,000," katanya.
Dia berkata demikian ketika mengadakan persiapan untuk pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan yang bermula hari ini di Pantai Bisikan Bayu di sini.
Selain pejantan limousin, turut dipamerkan lembu pejantan angus, charolais, unggul blonde, piedmabtese, kedah kelantan dan belgium blue.
Lembu-lembu sado itu antara tarikan utama ke HPPN yang berakhir pada 4 Ogos nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!