Warga emas maut, 29 rumah terbakar di Tongod
SANDAKAN - Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas badannya melecur 90 peratus akibat kebakaran yang memusnahkan 29 rumah di Kampung Batung Pinangah, Tongod petang semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini, mangsa dikenali sebagai Eng Suan King @ John Philip disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital terdekat selepas dihantar orang awam sebelum bomba tiba di tempat kejadian.
Selain 29 rumah, turut musnah dalam kebakaran bermula kira-kira 5.30 petang itu ialah sebuah tadika dan dua kenderaan serta sebuah kuarters Klinik Kesihatan yang rosak 15 peratus akibat kebakaran itu.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan dengan bantuan BBP Sandakan bergegas ke tempat kejadian.
Pasukan bomba terpaksa mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian kerana kedudukan BBP berkenaan masing-masing jauh dari tempat kejadian.
Jarak BBP Kota Kinabatangan ke tempat kejadian adalah kira-kira 170 km, manakala jarak BBP Sandakan ke tempat kejadian kira-kira 190 km.
Ketua operasi, Ahmad Khairul Aris berkata, api berjaya dikawal pada 9.50 malam dan pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!