'Kenapa saya pula jadi mangsa?'
IPOH - "Kenapa saya pula yang menjadi mangsa? Saya tidak pernah pinjam atau berhutang dengan sesiapa," luah seorang kakitangan swasta Chiang Ghee Siew, 55, apabila mendapati pintu pagar, dinding dan bahagian belakang kereta miliknya dipenuhi kesat cat merah baru-baru ini.
Ghee Siew berkata, kejadian berkenaan disedarinya kira-kira jam 9 pagi, 28 Julai lalu ketika berada di rumah bersama adiknya.
Menurutnya, sekeping nota dengan tulisan merah turut dilekatkan di keretanya dipercayai sebagai ugutan daripada pihak ceti haram atau ah long.
"Saya terkejut apabila mendapati kawasan rumah saya seperti pintu pagar, dinding batu dan juga kereta saya ada kesan cat merah.
"Kerana bimbangkan keselamatan saya membuat laporan polis di balai Menglembu dan mahu pihak polis mengambil tindakan atas perkara ini," katanya pada sidang media di Wisma DAP hari ini.
Ghee Siew berkata, ada kemungkinan pihak ah long terbabit melakukan kesilapan kerana nama yang ditulis pada nota berkenaan merujuk kepada jiran di sebelah rumahnya.
Malah katanya, dia pernah menghubungi nombor telefon yang ada pada nota berkenaan namun tidak menerima sebarang maklum balas.
"Saya tinggal di sini sejak empat tahun lalu dan ketika berpindah ke sini jiran saya itu sudah ada di sini. Tetapi kami jarang berbual kerana dia sering bekerja di luar.
"Saya rasa mungkin berlaku kesilapan dalam hal ini kerana pertamanya saya tidak ada berhutang dengan sesiapa dan yang kedua nama saya bukan Uthaiya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP Perak, Steven Chaw berharap sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, tindakan itu seperti mencabar pihak polis, tambahan pula tidak ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Setakat ini sudah lima kes ah long kami terima tetapi ini kes pertama melibatkan (rumah) mangsa yang disimbah cat merah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!